SUKAN > BERITA

JURULATIH LAHIR JAGUH OLIMPIK BERPOTENSI SERTAI SKUAD OLAHRAGA - BALLARD

09/04/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Barisan kejurulatihan skuad olahraga berpotensi dimantapkan dengan kehadiran jurulatih asing yang pernah melahirkan jaguh Olimpik, kata Pengarah Teknikal Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA) Robert J Ballard.

Beliau berkata beberapa nama telah disenaraikan bagi memperkuat skuad olahraga serta pembangunan atlet, namun segala keputusan terletak kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Nama-nama yang kami cadangkan mungkin mempunyai pencapaian (melahirkan) pemenang pingat emas Olimpik. Kita akan mempunyai gabungan jurulatih tempatan dan luar negara, bukan hanya untuk disiplin pecut tetapi juga beberapa acara lain.

“Ia memerlukan masa untuk melihat perubahan ini dan juga bagi mendapatkan peruntukan bajet yang hanya setelah disatukan barulah kami dapat membuat pengumuman," katanya pada sidang media di pejabat MA di sini hari ini.

Ballard berkata MA telah mencadangkan sebelum ini sejumlah nama dengan strategi jangka panjang adalah untuk meningkatkan jumlah jurulatih kepada 22 orang dalam struktur kejurulatihan berbanding sembilan ketika ini.

Semalam, Pengurus Besar MA Nurhayati Karim mengesahkan yang pihaknya sudah menghantar senarai jurulatih kepada MSN melibatkan semua disiplin dan kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara terutama bagi disiplin pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung pada penghujung tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan