KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Beregu utama lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China hari ini.
Pilihan pertama kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18 dan 21-16.
Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu pemenang antara Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand atau Jumar Al-Amin-Moajjam Hossain Ohidul dari Bangladesh pada perlawanan seterusnya.
Satu lagi pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara hasil kemenangan 21-14, 21-12 ke atas wakil Hong Kong Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi.
Mereka akan membuat perhitungan menentang satu lagi gandingan Hong Kong Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai atau Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.
Terdahulu, pemain perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Taiwan Sung Shuo Yun 21-16, 21-13 dalam tempoh 41 minit.
Menanti bekas juara remaja Asia itu pada pusingan kedua ialah pemain Thailand Supanida Katethong.
Seorang lagi pemain profesional wanita negara Wong Ling Ching yang membuat penampilan sulung pada kejohanan itu bagaimanapun terpaksa akur apabila terkandas pada pusingan pertama selepas tewas kepada wakil Indonesia Komang Ayu Cahya Dewi 17-21, 21-16, 17-21.
Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao pula ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Taiwan Lin Chun Yi dengan kekalahan 11-21 dan 19-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial