SHAH ALAM, 8 April (Bernama) -- Barisan kejurulatihan baharu bagi skuad olahraga negara dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Pengurus Besar Olahraga Malaysia (OM) Nurhayati Karim berkata pihaknya sudah menghantar senarai jurulatih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak berkenaan.
“Perkembangan terkini mengenai pelantikan jurulatih bagi skuad olahraga kini dalam fasa akhir. Semua maklumat kita sudah hantar kepada MSN.
“Jurulatih itu melibatkan semua disiplin termasuk pecut, lontaran, dan lompatan. Sekarang ini kita sedang tunggu maklum balas MSN dan mungkin akan tahu jawapan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan terdapat kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara terutama bagi disiplin pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung pada penghujung tahun lepas.
Pada sidang media berkenaan, OM turut mengumumkan skuad pecut Jerman akan mengadakan latihan pusat di Malaysia selama empat minggu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Lumba Berganti-ganti Dunia di Guangzhou China pada 10-11 Mei ini.
Sekretariat Olahraga Jerman Joerg Teichmann berkata 47 individu melibatkan atlet, jurulatih, doktor dan pegawai fisiologi akan datang ke Malaysia pada 10 April ini.
“Kem latihan ini adalah satu pencapaian hasil daripada hubungan kukuh sejak sekian lama yang terjalin antara Persatuan Olahraga Jerman dan Olahraga Malaysia.
“Kerjasama ini dibina berasaskan kepercayaan dan nilai bersama untuk meningkatkan prestasi sukan dari segi teknikal mahupun budaya,” katanya.
Antara nama besar yang bakal menjalani latihan pusat di Malaysia adalah Rebekka Haase, Lisa Mayer dan Alexandra Burghardt yang membantu kuartet 4x100 wanita Jerman memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial