POLITIK > BERITA

PEMIMPIN, PENYOKONG MERIAHKAN HARI PENAMAAN CALON PRK AYER KUNING

12/04/2025 09:34 AM

TAPAH, 12 April (Bernama) -- Pekan Tapah yang kebiasaannya tenang pada hujung minggu bertukar meriah dan hiruk-pikuk dengan kehadiran pemimpin serta penyokong parti-parti politik sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang berlangsung di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Cuaca cerah pagi ini turut membantu melancarkan perhimpunan pemimpin dan penyokong parti yang mula berkumpul seawal 7 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan Dr Mohamad Yusri Bakir, merangkap Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, tiba di kawasan berkumpul penyokong BN pada 7.08 pagi, lengkap berpakaian baju Melayu dan bersampin biru.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sokongan turut dizahirkan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, antaranya Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Sementara itu, bakal calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek, yang juga Pengerusi PN Tapah, hadir bersama rombongan penyokongnya termasuk Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan