KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) --Seramai 39,508 ahli PKR di Perak dan Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab mereka untuk Pemilihan PKR bagi peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini.
Antara tumpuan pemilihan di kedua-dua negeri itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
DI PERAK, Pengerusi PKR negeri Mohamad Hairul Amir Sabri berkata Chang menang tanpa bertanding selaku Ketua Cabang Tanjung Malim selain lima penyandang lain iaitu Tan Kar Hing (Gopeng), A. Alphonse (Bagan Serai), S.Tamilselvan (Batu Gajah), Baldip Singh (Kampar) dan beliau sendiri di cabang Kuala Kangsar.
“Bagaimanapun proses pengundian membabitkan keenam-enam cabang masih berlangsung seperti biasa dan membabitkan jawatan selain ketua cabang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Hairul Amir berkata sebanyak 25,466 ahli PKR di Perak akan menunaikan tanggungjawab mereka pada pemilihan kali ini, dengan 25,002 ahli menggunakan kaedah pengundian dalam talian manakala 464 mengundi secara fizikal di 24 cabang seluruh negeri.
“Lebih 98 peratus ahli akan menunaikan tanggungjawab mengundi secara dalam talian manakala bakinya akan mengundi di cabang masing-masing.
“Kaedah pengundian secara dalam talian ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga memberi ruang yang lebih luas kepada ahli untuk berfikir secara tenang bagi memilih calon pilihan,” katanya.
Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN, Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR negeri Nor Azman Mohamad berkata 14,042 ahli akan mengundi di lapan cabang parti di Seremban, Jelebu, Port Dickson, Rasah, Rembau, Jempol, Tampin dan Kuala Pilah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 500 ahli akan mengundi di tiga pusat pengundian di Seremban, Kuala Pilah dan Bahau di Jempol manakala, 13,542 ahli lagi akan mengundi secara dalam talian.
Antara tumpulan pemilihan kali ini ialah Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun yang akan mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Port Dickson berdepan pesaingnya Datuk M. Ravi.
Pengundian secara dalam talian dan fizikal bagi pemilihan PKR di tujuh negeri dijalankan serentak mengikut cabang dan negeri masing-masing bermula 11 hingga 20 April melibatkan Kedah, Selangor, Melaka, Perlis, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan dengan Selangor, Melaka dan Perlis diadakan semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial