PASARAN > BERITA

RINGGIT DIJANGKA TERUS LEMAH MINGGU DEPAN DALAM PERSEKITARAN KEYAKINAN RUNDINGAN DAGANGAN AS-CHINA

10/05/2025 10:57 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka terus lemah dalam tempoh terdekat, didorong oleh sentimen pasaran yang optimis terhadap kemungkinan tercapainya rundingan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan mungkin dengan negara-negara lain dalam tempoh penangguhan 90 hari ini.  

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rundingan AS-China yang dijangka berlangsung pada penghujung minggu ini mungkin telah meningkatkan minat terhadap dolar AS.

"Data perdagangan China bagi April menunjukkan eksport ke AS susut sebanyak 21 peratus, manakala pertumbuhan eksport China ke ASEAN dan Kesatuan Eropah meningkat masing-masing sebanyak 22.5 peratus dan 8.3 peratus.

"Nampaknya trend ini akan berterusan sekiranya isu tarif tidak diselesaikan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata tumpuan minggu hadapan adalah kepada data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS bagi April 2025 yang dijadual dikeluarkan pada 13 Mei 2025, serta data jualan runcit AS bagi April 2025 yang akan diterbitkan pada 15 Mei 2025.

Selain itu, pasaran juga akan memantau rapat data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2025 yang akan diumumkan pada 16 Mei 2025.

"Saya menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia suku pertama 2025 adalah pada 4.5 peratus, dan saya percaya angka tersebut masih kukuh, disokong oleh aktiviti hadapan dalam perdagangan antarabangsa, walaupun bersifat sementara.

“Separuh kedua 2025 akan menjadi penentu utama kerana ia bergantung kepada hasil rundingan perdagangan global,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat antara 4.30 hingga 4.33 berbanding dolar AS pada minggu hadapan.

Ringgit mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup rendah berbanding dolar AS, iaitu pada  4.2970/3005 daripada 4.2560/2600 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.8320/8359 daripada 4.8297/8342 minggu lepas, merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9565/9591 daripada 2.9437/9467, dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7004/7050 daripada 5.6639/6692.

Ringgit juga mencatat penyusutan berbanding mata wang ASEAN.

Ia turun berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/260.4 daripada 258.8/259.3, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3095/3124 daripada 3.2862/2898, merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0082/0267 daripada 12.8697/8903, dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.76 daripada 7.65/7.67 pada Jumaat sebelumnya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan