KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
“Secara keseluruhan 251 calon telah menawarkan diri untuk bersama-sama memperkukuh saf kepimpinan parti di peringkat pusat. Pemilihan kali ini turut menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Ketua AMK.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa Keadilan tidak ketandusan bakat pelapis, malah ia mengukuhkan lagi posisi parti sebagai wadah perjuangan yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh-tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Proses pencalonan bagi peringkat pusat berlangsung selama dua hari mulai Khamis lepas.
Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata tempoh bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei, diikuti dengan proses rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei.
Beliau berkata senarai akhir calon peringkat pusat akan dimuktamadkan pada 15 Mei manakala tempoh rasmi berkempen akan bermula sejurus selepas pemuktamadan dan akan berakhir pada 11.59 malam, 22 Mei.
“JPP ingin mengingatkan semua calon agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan yang telah ditetapkan. Amalkan kempen yang berhemah, matang dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Pemilihan ini perlu menjadi ruang memperkukuh saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang telah menjadi asas Keadilan sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata JPP turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus dan penuh integriti selain mencerminkan komitmen Keadilan sebagai parti yang terus mara ke hadapan bersama rakyat.
Proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir 11.59 malam tadi menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandangnya iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua AMK manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Pemilihan kepimpinan pusat pada 23 Mei ini bermula 8 pagi hingga 5 petang, akan dijalankan menerusi dua kaedah, iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru, Johor.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.
Sementara itu, perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat dan Wanita Pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian akan dibuat secara dalam talian pada tarikh dan masa yang sama menerusi aplikasi ADIL.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial