SEREMBAN, 10 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan mempertahankan jawatan Naib Persiden PKR pada pemilihan sesi 2025-2028 yang akan berlangsung pada 23 Mei ini di Johor.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan itu berkata pemilihan PKR 2025 merupakan medan persaingan sihat yang perlu dilihat serta dirangkum dalam perspektif luas bagi mendepani cabaran politik tanah air dan memenuhi harapan rakyat.
“Kepimpinan yang dipilih perlu komited untuk terus menjadi jambatan antara akar umbi dan pimpinan tertinggi parti, memperkukuh struktur organisasi serta memacu agenda reformasi yang menjadi tunjang perjuangan Keadilan.
“Saya yakin dan percaya bahawa Pemilihan Keadilan 2025 bukan sekadar soal pengisian jawatan, sebaliknya peluang untuk memperkukuh asas perjuangan parti, menyemarakkan semangat reformasi dan merapatkan pasukan bagi menghadapi cabaran mendatang, termasuk Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Aminuddin yang juga Ketua Cabang Port Dickson turut berharap agar seluruh ahli parti terus bersatu, menjunjung prinsip keadilan dan memilih kepimpinan yang mampu membawa suara rakyat dengan amanah dan berintegriti.
Pemilihan kepimpinan pusat akan dijalankan menerusi dua kaedah, iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Keadilan Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching. Sementara itu, perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat dan Wanita Pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian akan dibuat secara dalam talian pada tarikh dan masa yang sama menerusi aplikasi ADIL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial