DUNIA > BERITA

SYARIKAT KEMBOJA EKSPORT GAJUS DAN MANGGA KERING KE MALAYSIA

10/05/2025 01:03 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 10 Mei (Bernama) -- Dua syarikat Kemboja memulakan penghantaran pertama produk gajus dan mangga kering ke Malaysia pada Khamis menerusi perjanjian kerjasama sektor swasta.

Ample Agro Product Co Ltd dan Kirirom Food Production Co Ltd menandatangani memorandum persefahaman berasingan dengan TrackinTech Solutions Sdn Bhd pada 23 Jan lepas bagi memudahkan urusan eksport.

Di bawah perjanjian itu, TrackinTech Solutions akan mendapatkan bekalan gajus yang telah diproses daripada Ample Agro Product dan mangga kering daripada Kirirom Food.

“Penghantaran dibahagikan kepada empat peringkat - 200 kotak (10,000 bungkusan) gajus dan 210 kotak (10,500 bungkusan) mangga kering ke Malaysia, sebelum diedarkan ke Singapura, Indonesia dan Brunei,” menurut Kementerian Perdagangan Kemboja.

Ample Agro Product ialah perusahaan sosial dan mesra alam yang mengeluarkan produk gajus, isi gajus, buah kering dan lada hitam.

Kirirom Food pula mengkhusus dalam pengeluaran mangga kering dan buah-buahan lain untuk pasaran tempatan dan eksport.

Kemboja kini muncul sebagai pengeksport utama gajus di pasaran global, bersaing dengan Vietnam yang merupakan pengeluar terbesar dunia.

Menurut data Persatuan Gajus Kemboja, para pengusaha tempatan mengeksport 850,000 tan metrik gajus mentah bernilai hampir RM5 bilion (US$1.15 bilion) tahun lalu.

Terdapat kira-kira 700,000 hektar ladang gajus di negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan