PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

06/05/2025 11:14 AM

KUALA LUMPUR, May 5 (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini bagaimanapun turun selepas itu disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan peningkatan di Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.21 mata kepada 1,539.33 daripada 1,539.54 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.10 mata kepada 1,540.64.

Jumlah dagangan sebanyak 280.75 juta unit bernilai RM104.53 juta.

Suasana pasaran negatif, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 219 berbanding 142 manakala 300 kaunter kekal tidak berubah, 1,674 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun sentimen keseluruhan di Bursa Malaysia mungkin mencatatkan trend menurun hari ini, ia menjangkakan peluang belian akan dilihat dalam saham perbankan kerana Indeks Kewangan meningkat sekitar 10 peratus daripada paras terendah pada 9 April lepas.

"Alliance Bank dan Ambank mungkin menjadi tumpuan kerana kedua-duanya telah ketinggalan berbanding saham perbankan lain walaupun hasil dividennya adalah munasabah," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, susulan perolehan kontrak secara berterusan di Johor dan prospek untuk mengulangi kejayaan ini di Pulau Pinang, firma penyelidikan itu yakin terdapat peluang dagangan di ITMAX di sebalik trend menurun.

"Untuk pilihan lebih konservatif, kami kekal positif terhadap KPJ kerana syarikat itu mempunyai pendedahan minimum kepada risiko tarif Amerika Syarikat (AS) manakala pengurusan kukuh dan pelan pengembangan sepatutnya memberikan sokongan harga selanjutnya," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM10 dan RM7, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.46, CIMB merosot 5.0 sen kepada RM7.03, bagaimanapun Tenaga Nasional naik 8.0 sen kepada RM13.88.

Bagi saham aktif, Permaju meningkat 0.5 sen kepada 3.5 sen, Ekovest menambah 1.0 sen kepada 34 sen, manakala Jiankun dan Velesto tidak berubah masing-masing pada 3.0 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 3.87 mata kepada 11,437.31, Indeks FBMT 100 susut 6.09 mata kepada 11,209.17, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.39 mata kepada 11,315.88, Indeks FBM 70 merosot 26.97 mata kepada 16,105.52 dan Indeks FBM ACE menguncup 14.19 mata kepada 4,610.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.74 mata kepada 18,238.43, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.15 mata kepada 151.64, Indeks Tenaga merosot 0.81 mata kepada 681.90, namun Indeks Perladangan meningkat 13.05 mata kepada 7,261.67.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan