DUNIA > BERITA

BEKAS PM JEPUN KISHIDA BINCANG INISIATIF AZEC BERSAMA PM ANWAR

06/05/2025 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Selasa, dengan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen untuk memajukan penyahkarbonan serantau dan pertumbuhan mampan di bawah inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).

Kishida yang berada di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari sempena sidang kemuncak AZEC di ibu negara, berkata kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai penyahkarbonan, kerjasama serantau dan cabaran ekonomi global.

“Kami berbincang bagaimana Jepun dan Malaysia, bersama negara serantau yang sehaluan, boleh memainkan peranan utama dalam mencapai penyahkarbonan sambil mengekalkan pembangunan mampan,” katanya pada sidang media bersama media tempatan dan antarabangsa di sini.

Kishida, yang juga Penasihat Tertinggi kepada Persatuan Parlimen AZEC, berkata Anwar memberi respons yang jelas untuk terus bekerjasama rapat dengan Jepun.

“Saya amat menghargai pendekatan beliau (Anwar) yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau menambah perbincangan itu mencerminkan asas kepercayaan kukuh yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua pemimpin, yang sering berinteraksi sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

“Saya gembira kerana kami dapat bertemu semula dan mempereratkan lagi persahabatan. Berdasarkan hubungan ini, kami telah mengadakan dialog yang sangat terbuka hari ini,” katanya.

AZEC ialah inisiatif yang diketuai Jepun dan dilancarkan pada 2022 untuk menggalakkan penyahkarbonan di Asia menerusi kerjasama serantau, pemindahan teknologi dan perkongsian awam-swasta. Ia bertujuan mengimbangi antara karbon sifar dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di negara sedang pesat membangun.

Kishida turut memaklumkan beliau menyampaikan sepucuk surat daripada Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba kepada Anwar dan menjelaskan tujuan lawatannya yang turut merangkumi isu ekonomi global.

Beliau mengesahkan komitmen Jepun untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan AZEC, sambil menambah bahawa Tokyo menyasarkan untuk menyumbang kepada keperluan pembiayaan Asia sebanyak 400 trilion yen melalui keupayaan teknologi dan kewangannya.

Terdahulu dalam ucapannya sebelum sidang media, Kishida berkongsi bahawa lawatannya ke Indonesia dan Malaysia menyerlahkan kepelbagaian keperluan penyahkarbonan di seluruh Asia Tenggara.

“Sepanjang lawatan ke kedua-dua negara, saya menyaksikan sendiri harapan tinggi yang disandarkan kepada Jepun serta pelbagai keperluan dan projek penyahkarbonan aktif di Asia Tenggara.

“Menerusi lawatan tapak dan interaksi dengan perniagaan, saya mengesahkan semula kepentingan kerajaan memainkan peranan utama dalam membina kerjasama dengan negara tuan rumah,” katanya.

Beliau menambah bahawa Jepun telah menubuhkan liga parlimen khas bagi AZEC yang akan bekerjasama dengan negara rakan, syarikat dan pihak berkepentingan lain untuk memajukan inisiatif tersebut.

“Sebagai liga parlimen, kami berharap dapat memanfaatkan rangkaian luas setiap ahli dan menyumbang kepada kemajuan AZEC menerusi penglibatan bersama negara rakan, syarikat dan pihak berkepentingan lain dari perspektif parlimen,” katanya.

Kishida, yang juga Duta Khas Perdana Menteri Jepun, tiba di Malaysia dari Indonesia, yang beliau mengadakan perbincangan serupa dengan pemimpin tertinggi negara itu mengenai kerjasama AZEC.

Kishida turut berkongsi satu video di akaun rasminya di X yang memaparkan perbualannya bersama Anwar mengenai durian.

Beliau mengimbau kenangan menikmati buah itu dalam lawatan terdahulu, yang mencetuskan gelak ketawa dan perbualan mesra.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan