AM > BERITA

Iltizam Kerajaan Hadapi Tarif AS, Lindungi Rakyat Khususnya Komuniti Desa - Ahmad Zahid

06/05/2025 06:57 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Langkah diambil kerajaan dalam menangani dampak tarif timbal balas dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia, adalah demi melindungi rakyat khususnya komuniti desa supaya terus teguh menghadapi ketidaktentuan global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah proaktif Kerajaan MADANI melalui penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) itu jelas memperlihatkan komitmen untuk mempertahankan kepentingan negara sekali gus memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di mata dunia.

"Saya memandang serius cabaran yang dihadapi komuniti desa akibat ketidaktentuan perdagangan global. Ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung pada sektor elektrik dan elektronik (E&E), kelapa sawit, getah dan pertanian dengan AS antara pasaran utama negara. 

"Justeru, saya yakin usaha kerajaan ini yang bukan sahaja berunding mengurangkan tarif tetapi juga membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir dan Pakistan amat penting bagi melindungi pendapatan dan kelangsungan hidup mereka yang terkesan," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata tindakan pantas kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk naik taraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan serta had sebut harga dinaikkan RM1 juta ke RM3 juta, secara langsung akan memperlihatkan pembinaan sekolah, klinik, jalan, dan tebatan banjir dapat dipercepatkan serta membuka lebih banyak peluang kerja untuk kontraktor kecil dan pekerja di kawasan luar bandar.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata cabaran dalam sektor E&E akan memberikan kesan langsung kepada keperluan modal insan berkemahiran tinggi. 

"Saya beriltizam untuk memperkukuhkan institusi TVET negara agar dapat membina lebih banyak kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan pendigitalan. 

"Keutamaan kita adalah untuk memastikan lebih ramai belia desa mendapat akses kepada latihan TVET yang relevan dan berkualiti, seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor bernilai tinggi yang akan memacu ekonomi masa hadapan," katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia kini berada pada landasan kukuh dengan KDNK 2024 mencatat 5.1 peratus, defisit fiskal menurun dan kadar inflasi yang stabil.

Kerajaan juga komited melaksanakan agenda reformasi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan pendigitalan negara tanpa menjejaskan prinsip utama termasuk hak bumiputera, keperluan vendor tempatan dan perlindungan sektor strategik.

"Marilah kita rapatkan saf, memupuk solidariti nasional dan bersama-sama merealisasikan agenda pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI demi membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan