DUNIA > BERITA

SETIAUSAHA AGUNG ASEAN, UTUSAN KHAS PM JEPUN BINCANG PERALIHAN TENAGA DAN MATLAMAT IKLIM

05/05/2025 03:39 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada Isnin mengakui cabaran yang dihadapi oleh negara Asia Tenggara dan Jepun dalam mengimbangi matlamat pelepasan sifar bersih dengan keselamatan tenaga serta permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Ketika berucap di Ibu Pejabat ASEAN di sini semasa pertemuan dengan bekas  Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Kao menekankan kepentingan strategi peralihan tenaga pelbagai aspek di rantau ini.

“Kerjasama kami mengenai peralihan tenaga bersih adalah penting, merangkumi bukan sahaja tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan yangdipertingkatkan, tetapi juga teknologi penyahkarbonan kritikal seperti CCUS (Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon), ammonia dan hidrogen,” katanya.

Pertemuan itu dihadiri pegawai kanan Jepun termasuk Duta Jepun ke ASEAN Kiya Masahiko dan Penasihat Khas Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) Yamada Takio.

Kao pada masa sama menekankan perkongsian jangka panjang Jepun dengan ASEAN, dengan menyatakan sumbangan Jepun kepada Dana Integrasi Jepun-ASEAN, Perjanjian Kerjasama Teknikal ASEAN-Jepun dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA).

Beliau mengalu-alukan sokongan berterusan Jepun untuk Pemusatan ASEAN melalui penyertaannya dalam rangka kerja serantau seperti Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

Kedua-dua pihak turut mengesahkan komitmen mereka terhadap matlamat bersama yang digariskan dalam Sidang Kemuncak Peringatan 2023 di Tokyo, termasuk kerjasama yang lebih mendalam mengenai perubahan iklim, kelestarian alam sekitar dan peralihan tenaga.

Kepimpinan Jepun dalam teknologi bersih dan peranannya dalam melancarkan inisiatif AZEC diiktiraf sebagai kunci dalam memajukan usaha penyahkarbonan serantau.

Kao menyatakan bahawa hampir semua negara anggota ASEAN kini menyertai AZEC secara aktif.

“Jepun terus menjadi satu daripada rakan kongsi ASEAN yang paling dipercayai dan dihargai,” katanya sambil merujuk hubungan erat dalam kerjasama ekonomi, pelaburan dan pembangunan modal insan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan