KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bursa Malaysia terus berada dalam wilayah kurang memberangsangkan setakat dagangan tengah hari ini susulan aktiviti jualan membabitkan saham-saham perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan.
Perkembangan itu berlaku ketika prestasi Wall Street diasak tekanan berikutan perbalahan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell berkaitan gesaan menurunkan kadar faedah, termasuk ancaman agar peneraju bank pusat itu dipecat.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 13.93 mata atau 0.93 peratus kepada 1,485.54 daripada 1,499.47, semalam.
Saham wajaran tinggi CIMB susut 11 sen kepada RM6.75, Public Bank turun lima sen kepada RM4.35 manakala IHH Healthcare berkurangan lapan sen kepada RM6.81 dengan ketiga-tiga kaunter ini mengheret turun dengan gabungan 4.87 mata dalam indeks berkenaan.
Indeks itu dibuka susut 7.03 mata kepada 1,492.44 dan bergerak dalam julat 1,482.70 hingga 1,492.44 sepanjang sesi itu.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 575 berbanding 166 manakala 332 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,352 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.03 bilion saham bernilai RM843.63 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street menyaksikan prestasi semalaman yang suram yang dijejaskan oleh pertikaian berterusan Trump-Powell yang memberi impak ke atas sentimen pelabur mengenai kebebasan bank pusat itu, terutama dalam kecelaruan dasar perdagangan AS.
“Ini ditambah pula perkembangan usaha meredakan perang dagangan yang tepu dan menyebabkan kami menjangkakan dasar Trump akan terus mencetuskan ketidaktentuan di serata pasaran global yang hanya meningkatkan lagi tekanan ke atas dolar AS.
“Kebimbangan ini dijangka menyebabkan Wall Street terus mencatat dagangan yang hambar,” katanya.
Firma pembrokeran itu berkata pelabur akan menumpukan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Global S&P bagi April 2025 selain data tuntutan pengangguran.
Di peringkat tempatan, Malacca Securities berkata wujud peluang bagi meningkatkan kedudukan atau pegangan dalam sektor sarung tangan, sejajar dengan jangkaan peningkatan aliran pesanan dalam jangka masa pertengahan.
Ini memandangkan pengeluar sarung tangan Malaysia kini dalam usaha mengoptimumkan kos susulan tarif AS ke atas China.
“Selain pendapatan stabil dan hasil dividen tinggi, kami turut menjangkakan saham-ssaham perbankan akan turut mencatat momentum,
“Dalam senario perang perdagangan berterusan dan perniagaan yang lebih berwaspada, peniaga mungkin mengalihkan perhatian terhadap sektor pengguna yang dipacu domestik serta proksi aset selamat bagi mengharungi ketidaktentuan ekonomi pada masa ini dengan lebih baik,” katanya.
Saham wajaran tinggi seperti YTL Power International dan Press Metal Aluminium masing-masing turun 8.0 sen kepada RM3.18 dan RM4.72, Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.38, namun Maxis dan SD Guthrie naik 2.0 sen kepada RM3.51 serta RM4.66.
Bagi saham aktif, NexG meraih 1.5 sen kepada 36 sen, Aumas naik setengah sen kepada 78.5 sen, Ingenieur Gudang dan Magma turun setengah sen masing-masing kepada 3.5 sen dan 36.5 sen manakala Bina Puri tidak berubah pada 34.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 104.55 kepada 10,990.84, Indeks FBMT 100 turun 105.30 mata kepada 10,780.41, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 97.01 mata kepada 10,788.06, Indeks FBM 70 berkurangan 166.77 mata kepada 15,341.47 dan Indeks FBM ACE kehilangan 52.18 mata kepada 4,514.02.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 155.37 mata kepada 17,853.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.69 mata kepada 142.34, Indeks Tenaga susut 8.26 mata kepada 651.75 dan Indeks Perladangan berkurangan 36.38 mata kepada 7,174.75.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial