PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

22/04/2025 09:49 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini susulan harga minyak mentah dan minyak kacang soya yang lebih kukuh, kata pedagang minyak sawit, David Ng.

Menurut laporan, niaga hadapan kacang soya meningkat susulan isyarat bahawa permintaan kukuh terhadap tanaman bagi Amerika Syarikat (AS) itu, ketika dolar AS yang lemah menjadikan eksport lebih kompetitif.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,900 setan dan paras rintangan pada RM4,100 setan,” kata Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata prestasi eksport minyak sawit Malaysia bagi April adalah memberangsangkan, manakala pengeluaran juga semakin pulih, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan.

Tambahan pula, pemulihan dalam tenaga dan harga minyak kacang soya, selain permintaan yang bertambah baik daripada India, membantu prestasi minyak sawit.

“Bagaimanapun, ringgit Malaysia yang lebih kukuh dan ketidaktentuan ekonomi global terus mengehadkan keuntungan,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata harga minyak sawit dijangka kekal pada paras sokongan RM3,900 setan pada minggu-minggu akan datang, susulan pemulihan harga minyak kacang soya.

Menurut MPOC, stok minyak sawit Malaysia meningkat pada Mac 2025 selepas penurunan selama enam bulan berturut-turut, melonjak kepada 1.56 juta tan.

Peningkatan itu didorong oleh kenaikan 16.8 peratus bulan ke bulan dalam pengeluaran minyak sawit, berikutan penangguhan dalam penuaian pada bulan Februari akibat hujan lebat dan banjir.

Ketika ditutup, kontrak Mei 2025 pulih RM38 kepada RM4,108 setan, Jun 2025 meningkat RM49 kepada RM4,011 setan, Julai 2025 bertambah RM56 kepada RM3,966 setan, Ogos 2025 menaik kepada RM58 kepada RM3,952, September 2025 menokok RM61 kepada RM3,945 dan Oktober 2025 melonjak RM57 kepada RM3,939 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 86,695 lot daripada 70,503 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 235,300 kontrak daripada 238,488 semalam.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM30 pada RM4,150 setan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan