KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Jalur Gemilang yang tersemat pada seragam pelajar sekolah sejak semalam diyakini bakal menjadi pemangkin terbaharu dan terbaik ke arah penyemaian semangat cinta dan sayangkan negara khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata inisiatif lencana Jalur Gemilang itu biarpun hanya sekadar imej kecil pada seragam sekolah namun memainkan peranan yang sangat penting apabila pemakaiannya secara harian bukan sekadar membangkitkan rasa bangga pelajar pada negara.
Beliau berkata ia juga mampu mengutuhkan lagi semangat patriotisme pelajar yang dipupuk secara tidak langsung menerusi pendekatan simbolik, psikologi dan pendidikan nilai selain dilihat memainkan peranan penting merapatkan lagi jalinan kebersamaan antara kaum.
“Jalur Gemilang ini adalah simbol kebanggaan anak-anak kita untuk mereka cintakan negara, jadi apabila mereka pakai hari-hari, mereka akan berasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan inilah bendera mereka. Apabila mereka menjadi duta kecil negara bertanding di mana-mana di peringkat dunia, mereka bawa bendera Malaysia mewakili negara.
“Keduanya sudah pasti berkaitan dengan bagaimana kita hendak memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia sepertimana yang tersurat dalam imej Jalur Gemilang ada 13 negeri dan ada satu Wilayah Persekutuan, itulah sebenarnya solidariti kita sebagai rakyat Malaysia untuk kita sama-sama terlibat secara langsung bagi memperkukuh negara pada masa akan datang,” katanya.
Azman berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV malam ini
Mengulas lanjut, beliau berkata pemakaian lencana Jalur Gemilang juga secara psikologinya jika diamalkan sejak kecil serta digabungkan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' serta 'Ikrar Rukun Negara' setiap hari, sudah pasti menjadi manifestasi pada diri pelajar akan tanggungjawab dan peranan mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Jadi ini dapat kita semai melalui perlakuan berulang daripada kanak-kanak hinggalah dewasa, ia akan dapat menjadi manifestasi fizikal dan juga lisan tentang bagaimana kita zahirkan rasa hormat, rasa cinta dan tanggungjawab kita kepada negara yang bukan sekadar teori tetapi juga amali,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksana secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya, yang bermula semalam.
Langkah itu melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid serta warga pendidik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial