PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH BERIKUTAN SENTIMEN BERHATI-HATI

22/04/2025 08:12 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan aktiviti jualan dalam sektor perkhidmatan kewangan dan produk industri dan perkhidmatan berwajaran tinggi dalam persekitaran ketegangan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell.

CIMB susut 11 sen kepada RM6.75, Hong Leong Bank merosot 44 sen kepada RM19.54 dan Press Metal Aluminium turun 10 sen kepada RM4.70.

Tiga kaunter itu mengheret turun dengan gabungan 5.04 mata dalam indeks berkenaan.

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 13.22 mata atau 0.88 peratus kepada 1,486.25 daripada 1,499.47 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 7.03 mata kepada 1,492.44, dan bergerak antara 1,482.70 dan 1,492.44 pada awal dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 631 berrbanding 302 manakala 397 kaunter tidak berubah, 1,095 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan naik kepada 3.43 bilion unit bernilai RM1.66 bilion daripada 1.53 bilion unit bernilai RM1.19 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati di peringkat global selepas Trump menyelar Powell, meningkatkan kebimbangan mengenai campur tangan politik dalam dasar monetari dan melemahkan keyakinan terhadap ekonomi AS.

“Di peringkat tempatan, kami melihat aktiviti pengambilan untung hari ini terutamanya pada bank, pembinaan dan sektor tenaga berwajaran tinggi sebagai peluang untuk mereka yang mencari saham pada harga murah memandangkan penilaian indeks penanda aras lebih murah.

"Kami menjangkakan FBM KLCI akan terus menguji paras rintangan psikologi pada 1,500 minggu ini, menjangkakan aliran dalam lingkungan 1,470-1,500," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih rendah hari ini mencerminkan ketidaktentuan global yang semakin meningkat di tengah-tengah ketegangan perdagangan di bawah pentadbiran baharu AS.

"Sentimen pelabur kekal lemah, dibebani oleh tiga kebimbangan saling berkaitan, iaitu trajektori dasar perdagangan AS tidak jelas, ancaman terhadap kebebasan Fed AS dan semakan menurun kepada pendapatan korporat suku pertama 2025," katanya.

Beliau berkata pada hujung minggu, selera risiko semakin merosot selepas Trump mengkritik Powell, menggesa supaya menurunkan kadar faedah dengan segera.

“Mencerminkan kebimbangan ini, semua saham perbankan dalam FBM KLCI ditutup dalam wilayah negatif hari ini kerana pelabur bimbang sebarang langkah yang didorong oleh politik terhadap Powell boleh menjejaskan kestabilan dasar monetari AS dan memberi kejutan pada pasaran global.

“Ia juga menimbulkan risiko lebih tinggi kepada sistem kewangan dalam ekonomi sedang pesat membangun yang cenderung lebih terdedah kepada kejutan luaran,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, YTL Power International susut sembilan sen kepada RM3.17, YTL Corporation jatuh enam sen kepada RM1.77, Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.37, bagaimanapun Maxis meningkat lima sen kepada RM3.54 dan Axiata menambah satu sen kepada RM1.96.  

Bagi saham aktif, NexG rose menokok satu sen kepada 35.5 sen, Aumas melonjak dua sen kepada 80 sen, manakala Ingenieur Gudang turun 0.5 sen kepada 3.5 sen, Tanco susu 3.5 sen kepada 84.5 sen dan My E.G. Services berkurangan dua sen kepada 89 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 96.37 mata kepada 10,999.02, Indeks FBMT 100 rendah 98.75 mata kepada 10,786.96, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 86.63 mata kepada 10,798.44, Indeks FBM 70 merosot 151.85 mata kepada 15,351.39 dan Indeks FBM ACE rendah 5.10 mata kepada 4,561.10.

Mengikut sektor,  Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 159.20 mata kepada 17,849.95, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.57 mata kepada 142.46, Indeks Tenaga merosot 5.58 mata kepada 654.43 dan Indeks Perladangan tinggi 5.19 mata kepada 7, 216.32.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.25 bilion unit bernilai RM1.37 bilion daripada 1.08 bilion unit bernilai RM1.09 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.90 bilion unit bernilai RM194.42 juta berbanding 155.08 juta unit bernilai RM96.06 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 274.01 juta unit bernilai RM97.09 juta berbanding 301.51 juta unit bernilai RM91.09 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 170.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (282.44 juta), pembinaan (111.39 juta), teknologi (214.05 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.41 juta), hartanah (148.74 juta), perladangan (20.38 juta), REIT (8.86 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (87.09 juta), penjagaan kesihatan (65.40 juta), telekomunikasi dan media (18.84 juta), pengangkutan dan logistik (23.39 juta), utiliti (34.89 juta) dan amanah perniagaan (9,200).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan