Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi selaras dengan keuntungan di Comex berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memanas mula meningkatkan minat membeli.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata emas melonjak 3.3 peratus semalaman untuk ditutup pada US$ 3,082 di Comex, menandakan keuntungan satu hari terbesarnya sejak 2023.
Pengukuhan itu memacu emas menghampiri rekod tertinggi, yang kini diniagakan sekitar US$3,120.
"Peralihan dalam sentimen pelabur menunjukkan bahawa emas kini didorong oleh kebimbangan mengenai penurunan nilai mata wang fiat berbanding penjualan secara besar-besaran bagi menutup kerugian di pasaran lain," katanya kepada Bernama.
Pada penutup hari ini, April 2025 naik kepada US$3,119.40 setiap auns troy daripada US$3,056.70 setiap auns troy semalam, manakala Mei 2025 adalah lebih tinggi pada US$3,129.80 setiap auns troy berbanding US$3,077.20 setiap auns troy sebelum ini.
Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 kesemuanya menokok kepada US$3,142.20 setiap auns troy daripada US$3,077.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan bertambah kepada 653 lot berbanding 552 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 697 kontrak daripada 586 kontrak.
Berdasarkan penetapan tengah hari 9 April. London Bullion Market Association, emas fizikal berada pada US$3,075.50 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial