Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 8 April -- Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan terjejas oleh kebimbangan pasaran yang berlarutan terhadap kadar tarif Presiden AS Donald Trump.
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4885/4930 berbanding dolar AS daripada 4.4775/4840 ketika ditutup pada Isnin.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding mata wang utama yang lain.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit seketika mencecah RM4.5000 berbanding dolar AS semasa sesi dagangan awal pagi sebelum meningkat sedikit kemudiannya pada hari yang sama.
Beliau berkata, Trump nampaknya bertekad mempertahankan pendirian dasarnya dan terus mengamalkan pendekatan konfrontasi terhadap negara yang bertindak balas terhadap tarif AS, selain menunjukkan tempoh gangguan berkaitan tarif yang berpanjangan.
"Masih belum pasti sejauh mana pentadbiran Trump akan terbuka untuk rundingan dengan negara-negara lain dan ini jelas menambah ketidakpastian terhadap prospek ekonomi global pada tahun ini.
"Pasaran mata wang dijangka kekal tidak menentu dalam jangka pendek," katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama hari ini.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0501/0533 daripada 3.0655/0704 dan naik berbanding euro kepada 4.9005/9055 daripada 4.9100/9172 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7210/7268 daripada 5.7491/7575 semalam.
Ringgit kebanyakannya melonjak berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ringgit lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8898/9094 daripada 12.9128/9408 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 265.7/266.1 daripada 266.1/266.6 ketika ditutup semalam.
Mata wang tempatan tersebut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3224/3259 daripada 3.3228/3281 sebelumnya, tetapi turun berbanding peso Filipina kepada 7.83/7.84 daripada 7.79/7.81.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial