JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Toppen Shopping Centre di sini.
Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan tawaran itu sah sehingga Ahad ini.
Selain PDRM, pelbagai agensi kerajaan turut menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat sepanjang program berkenaan.
Antaranya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa Bas Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan permohonan kad pengenalan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, gantian MyKad serta cetakan cip MyKad.
Jabatan Imigresen pula menyediakan perkhidmatan pembaharuan pasport secara dalam talian, manakala program Jom Exchange al-Quran (JEQ) membolehkan penukaran al-Quran rosak atau tiada perakuan secara percuma.
Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dan Platun Tiger.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan penukaran topi keledar lama kepada baharu secara percuma hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kerajaan Negeri Johor.
JPJ turut menyediakan bayaran saman kompaun khas kadar rata RM150 bagi kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang direkodkan sejak Oktober 2018 hingga kini.
Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan JPJ Mobile untuk urusan pembaharuan lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu percubaan (PDL), lesen vokasional (PSV dan GDL), serta Lesen Kenderaan Motor (LKM).
PMR 2025 Johor yang bertemakan Belia MADANI, Yakin Boleh! akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti reruai pameran, sesi interaktif bersama agensi kerajaan, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya serta jualan MADANI.
Program ini dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 3 petang esok.
Johor merupakan lokasi kedua siri jelajah PMR 2025 selepas Sabah (9 hingga 11 Mei), sebelum diteruskan ke beberapa lokasi lain termasuk Lumut (Perak), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Lama (Kelantan), Nilai (Negeri Sembilan), Baling (Kedah), Jasin (Melaka) dan Bintulu (Sarawak).
PMR 2025 Johor juga dilangsungkan serentak dengan Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri, menjadikannya platform dwifungsi dalam menyatukan suara dan potensi belia dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial