AM

RM3.6 Juta Diperuntuk Untuk Penambahbaikan Kemudahan, Fasiliti Awam KWSAB - Exco

22/05/2025 01:04 PM

ISKANDAR PUTERI, 22 Mei (Bernama) -- Yayasan Warisan Johor (YWJ) bercadang untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan dan fasiliti awam di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), dengan anggaran kos RM3.6 juta seiring persiapan Tahun Melawat Johor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri K Raven Kumar berkata cadangan itu diluluskan oleh Pejabat Menteri Besar Johor, melibatkan projek pembangunan fizikal di beberapa zon utama yang dijangka menjadi pemangkin kepada pelancongan budaya serta pemuliharaan warisan negeri Johor.

“Antara komponen pembangunan yang akan dilaksanakan, termasuk kerja awalan di Zon A (Zon Tiba) merangkumi pembinaan tangga baharu di Laman Seri Gelam, laluan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), pagar perimeter dan hentian bas baharu.

“Sementara itu, di Zon E (Zon Komersial) pula melibatkan pembinaan galeri kulinari, kedai cenderamata dan medan selera, jalan masuk dan kawasan tempat letak kereta, serta penaiktarafan kemudahan surau, tandas dan rumah sampah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) berkenaan langkah-langkah dan penambahbaikan kemudahan yang telah dan akan dilaksanakan di KWASB.

K Raven yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh berkata komponen sistem turut dinaik taraf meliputi pemasangan sistem audio luaran dan siar raya, sistem tiket dan turnstile, serta pemasangan papan tanda dan arca.

“Sementara itu, YWJ  juga bercadang untuk meningkatkan keterlihatan warisan Johor melalui platform digital berkaitan pelancongan, termasuk laman web ulasan dan penarafan (rating) pelancongan seperti TripAdvisor, Google Reviews, Booking.com, Traveloka, dan Klook bagi meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi budaya dan sejarah.

“Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor komited memastikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar bukan sahaja menjadi simbol identiti sejarah negeri, malah berfungsi sebagai daya tarikan pelancongan budaya yang mampu merangsang ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek ini juga seiring dengan aspirasi Belanjawan Johor 2025 dalam memperkukuh sektor pelancongan dan pemeliharaan warisan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan