EKONOMI

EXIM Bank, NAICO Dan PWNE Jalin Kerjasama Strategik Aeroangkasa Di LIMA 2025

21/05/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) memeterai kerjasama strategik dengan pihak Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO) dan PWN Excellence Sdn Bhd (PWNE) bagi meningkatkan inovasi, akses pembiayaan dan daya saing global sektor aeroangkasa negara ini.

Usaha itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan NAICO selain Perjanjian Kemudahan Pembiayaan Bersyarat Islam bernilai RM30.23 juta dengan PWNE di acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.

Dalam kenyataannya, EXIM Bank berkata MoU dengan NAICO menawarkan kerangka kerjasama bagi memperkukuh sektor aeroangkasa yang juga industri penting dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Di bawah perjanjian itu, EXIM Bank menawarkan penyelesaian kewangan khusus, termasuk pembiayaan perdagangan dan projek, takaful kredit eksport dan kerjasama dengan rakan pembiayaan ekuiti bagi mengatasi jurang pembiayaan selain memperkasakan perniagaan aeroangkasa.

“Perjanjian Kemudahan Pembiayaan Islam dengan PWNE akan menyokong pengambilalihan Simulator Penerbangan Penuh dan memperluaskan kapasiti latihan penerbangan Malaysia.

“Kemudahan ini menjadikan jumlah pembiayaan EXIM Bank untuk PWNE adalah melebihi RM107 juta," katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Nurbayu Kasim Chang berkata sektor aeroangkasa Malaysia berpotensi besar untuk mendorong inovasi, mencipta pekerjaan bergaji tinggi serta meningkatkan daya saing global.

“Menerusi kerjasama dengan NAICO dan PWNE, EXIM Bank menyalurkan pembiayaan strategik dan sokongan diperlukan bagi pembangunan kapasiti bertaraf dunia, mengembangkan infrastruktur latihan dan meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan aeroangkasa di peringkat serantau,” katanya.

Mengikut EXIM Bank, industri aeroangkasa Malaysia sedang mengalami pertumbuhan pesat, disokong oleh pelaburan diluluskan sebanyak RM1.5 bilion pada 2024 selain aliran masuk pelaburan langsung asing yang kukuh.

“Apabila pasaran aeroangkasa global menuju ke arah US$3 trilion menjelang 2035, Malaysia akan muncul sebagai hab aeroangkasa bernilai tinggi, menarik pemain utama seperti Boeing, Airbus, Safran dan Rolls-Royce untuk menyertai rantaian bekalan sektor itu yang pesat berkembang.

“Sehubungan itu, Malaysia dijangka menyokong ekosistem rantaian bekalan yang komprehensif daripada aspek pembuatan aero, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kejuruteraan sehingga penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Bagi pengembangan pasaran, Bank EXIM turut menawarkan sokongan fi guaman sehingga RM15,000 untuk pembiayaan Islam, potongan cukai berganda untuk sumbangan takaful kredit perdagangan dan sokongan sehingga 65 peratus untuk sektor-sektor utama.

Menurutnya, syarikat Bumiputera yang layak boleh mendapat akses sehingga RM10 juta di bawah program EXIM–Teraju dan Skim Insentif Pemampanan Pengeksport (SIP2) yang menawarkan sehingga RM20 juta dengan insentif kadar keuntungan sebanyak satu peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan