KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada 13 syarikat bas ekspres atas kesalahan menaikkan harga tambang bas ekonomi, sempena musim perayaan Aidilfitri yang lepas.
Agensi berkenaan dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, lima syarikat diberikan STS kedua dan dipanggil ke Ibu Pejabat APAD untuk memberikan keterangan lanjut dan bukti tambahan.
APAD memaklumkan tindakan itu hasil pemantauan terhadap 101 syarikat melibatkan 371 kenderaan, bagi tempoh perjalanan 15 Mac sehingga 6 April lepas, dan tertumpu kepada lapan laluan utama yang merangkumi Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu.
“Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen APAD yang bersidang 15 Mei lepas, dua syarikat didapati menaikkan harga tambang bas ekspres menjelang musim perayaan.
“Sebuah syarikat itu diberikan notis amaran kerana bukti dikemukakan menunjukkan kenaikan harga tambang bersifat nominal, manakala sebuah lagi digantung operasi 14 hari kerana gagal menjawab STS kedua,” menurut APAD.
APAD memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan terhadap operasi syarikat bas ekspres dari semasa ke semasa, terutama pada musim perayaan bagi mencegah sebarang kenaikan harga tambang melebihi kadar siling dibenarkan.
“Selain itu, APAD juga akan memantau tahap pematuhan syarikat bas ekspres terhadap keperluan perkhidmatan, termasuk Amalan Kod Industri Keselamatan. APAD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung lesen pengendali, sekiranya didapati melanggar syarat lesen,” menurut agensi itu.
APAD memaklumkan sehingga 30 April lepas, pihaknya telah melesenkan 177 syarikat bas ekspres yang mempunyai 3,854 permit kenderaan beroperasi di seluruh Semenanjung.
“Bas ekspres mempunyai dua jenis perkhidmatan iaitu perkhidmatan ekonomi dan eksekutif. Sejak 9 Sept 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambang sebanyak 10 peratus pada musim perayaan, manakala tiada tambang siling untuk bas eksekutif,” menurut agensi itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial