KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan potensi penggabungan antara Affin Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd akan melibatkan penerbitan saham baharu yang besar dan berkemungkinan membawa kesan dilutif.
Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB Securities menjelaskan pihaknya menilai dua kemungkinan senario penggabungan bagi Affin dan AMMB, walaupun pihaknya tidak begitu berminat mengenai penggabungan itu.
“Penggabungan antara dua entiti perbankan domestik akan memerlukan pengambilalihan keseluruhan kepentingan, memandangkan bank-bank itu tidak dibenarkan memegang dua lesen perbankan.
“Jika Affin mengambil alih AMMB pada nisbah harga berbanding nilai aset syarikat (P/BV) sekali, Affin perlu menerbitkan 7.7 bilion saham baharu pada harga pasaran semasa RM2.60 untuk mengambil alih 100 peratus AMMB,” jelasnya.
Menurut CIMB Securities, ini sekali gus akan membawa peningkatan beberapa kali saham terbitan Affin kepada 10.25 bilion daripada 2.5 bilion saham pada masa ini.
Selain itu, senario kedua pula akan menyaksikan AMMB mengambil alih Affin pada P/BV sekali, yang masih akan membawa kepada peningkatan ketara asas saham terbitan AMMB sebanyak 63.8 peratus.
“Harga sasaran AMMB akan turun kepada RM4.27 (semasa: RM5.70) berdasarkan pulangan ke atas ekuiti 7.8 peratus (semasa: 8.6 peratus) dan P/BV saksama pada 0.7 kali (semasa: 0.9 kali).
“Harga sasaran mungkin meningkat jika AMMB mengambil alih Affin pada P/BV 0.6 kali atau lebih rendah (membayangkan harga pengambilan hanya RM2.75 atau lebih rendah ke atas Affin), yang boleh menyebabkan harga sasaran AMMB meningkat kepada RM6.35 bagi tahun kewangan 2026,” jelasnya.
Bagaimanapun, CIMB Securities menjelaskan harga pengambilalihan terlalu rendah untuk pemegang saham Affin itu mungkin dianggap tidak menyenangkan oleh pemegang saham minoriti Affin.
Baru-baru ini, berita melaporkan kerajaan Sarawak mungkin sedang mempertimbangkan untuk membeli kepentingan dalam sebuah lagi bank dan menggabungkannya dengan Affin, dan pemegang saham utama AMMB dilaporkan telah didekati.
Sejak itu, kerajaan Sarawak menafikan menghantar mana-mana wakil kerajaan untuk membincangkan perkara itu dengan Amcorp Group Bhd, tetapi dilaporkan masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana entiti yang ingin bekerjasama dengan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial