DUNIA

ASEAN, Rakan Dialog Komited Sokong Sistem Dagangan Multilateral Berasaskan Peraturan - MITI

21/05/2025 01:22 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) – Perundingan Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dengan China, Australia, New Zealand (NZ) dan Jepun secara berasingan mengesahkan komitmen mereka terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang bertunjangkan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata komitmen sedemikian menggalakkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang boleh diramal, telus, bebas, adil, inklusif, mampan, tanpa diskriminasi dan terbuka.

Menterinya Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz mempengerusikan ketiga-tiga sesi perundingan secara maya itu dengan Menteri Perdagangan dan Industri Timor Leste Filipus Nino Pereira bertindak sebagai pemerhati.

Sesi dengan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao membincangkan impak ketegangan perdagangan global berterusan telah memberi kesan terhadap daya tahan rantaian bekalan serantau, seterusnya mengganggu susunan perdagangan global, memburukkan lagi geseran perdagangan dan melemahkan keyakinan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

Tengku Zafrul berkata: "Memandangkan pergantungan besar negara-negara ASEAN terhadap rantaian bekalan global, sebarang ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi utama akan menjejaskan perniagaan dan pengguna, bukan sahaja dalam ASEAN, tetapi di seluruh dunia."

Para menteri juga menetapkan sasaran untuk menandatangani protokol peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, salah satu pencapaian keberhasilan utama ekonomi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

“Penambahbaikan ini dijangka merangkumi bidang baharu, seperti ekonomi digital dan hijau, dan ketersambungan rantaian bekalan,” katanya.

Mesyuarat itu juga mengiktiraf kepentingan meluaskan hubungan perdagangan melalui inisiatif seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Sesi dengan Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell dan Menteri Perdagangan dan Pelaburan NZ Todd McClay menyokong perjanjian mewujudkan prinsip kawasan perdagangan bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) yang terbuka, boleh diramal, telus, berasaskan peraturan dan tanpa diskriminasi.

“Selain itu, mesyuarat tersebut juga mengalu-alukan penguatkuasaan protokol kedua untuk meminda AANZFTA bagi Australia, Brunei, Laos, Malaysia, NZ dan Singapura pada 21 April,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut turut berharap agar penguatkuasaan  protokol kedua bagi pihak lain disempurnakan pada akhir tahun ini untuk mengukuhkan rangka kerja kerjasama ekonomi serantau ini. 

Manakala sesi dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Yoji Muto menggariskan blok serantau dan komitmen Jepun untuk melaksanakan dan mempromosikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun.

“Mesyuarat itu menyokong usaha berterusan untuk melaksanakan, menambah baik dan mengembangkan perjanjian RCEP, termasuk memuktamadkan prosedur mengenai penyertaan negara-negara kepada RCEP,” katanya.

Beliau berkata inisiatif khusus industri dalam sektor automotif, tenaga bersih dan pembangunan beretika, bertanggungjawab dan penggunaan kecerdasan buatan akan diterokai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan