AM

Pulau Pinang Terima Penerbangan Terus Dari Phnom Penh Bermula 26 Jun

20/05/2025 06:27 PM

GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang akan menerima penerbangan terus baharu dari Phnom Penh bermula 26 Jun, menerusi Cambodia Airways yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyerlahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai dalam kenyataan hari ini berkata Cambodia Airways secara rasmi mengesahkan perkembangan dan laluan baharu itu susulan kejayaan pelancaran penerbangan terus Chengdu-Pulau Pinang pada 30 April. 

“Ini menandakan hubungan udara terus pertama antara Phnom Penh dan Pulau Pinang, menunjukkan era baharu dalam pertukaran bagi dua bandar itu. 

“Pelancaran penerbangan terus antara Phnom Penh dan Pulau Pinang akan membuka lebih banyak peluang untuk pelancongan, perdagangan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kemboja, selain menawarkan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada pengembara perniagaan atau rekreasi,” katanya. 

Wong berkata penerbangan itu beroperasi dua kali seminggu iaitu pada Khamis dan Ahad. Penerbangan KR785 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PNH) pada 8.05 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada 10.55 pagi, sementara penerbangan balik KR786 berlepas dari Pulau Pinang pada 11.55 pagi dan mendarat di Phnom Penh pada 12.40 tengah hari.  

Beliau menekankan penerbangan terus itu akan menyerlahkan daya tarikan unik Pulau Pinang dan meningkatkan potensi negeri itu dalam peta penerbangan serantau, selain mengukuhkan kedudukan sebagai hab antarabangsa bagi acara perniagaan dan pelancongan. 

Perkembangan itu, menurut Wong menjadikan Pulau Pinang kini mempunyai hubungan udara terus dengan enam negara anggota ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. 

“Pencapaian ini bukan hanya meningkatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab udara antarabangsa utama di Asia Tenggara tetapi juga mengukuhkan kesalinghubungan udara dan seterusnya memantapkan peranan strategik negeri dalam landskap penerbangan serantau,” katanya.

Dengan penambahan Phnom Penh, PIA kini mempunyai penerbangan terus ke 22 bandar antarabangsa sekali gus meningkatkan jangkauan global Pulau Pinang. 

Wong juga berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menumpukan kepada usaha mempromosikan integrasi dan kesalinghubungan serantau dan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 yang mengenal pasti pengangkutan udara sebagai tonggak utama memperkukuh integrasi. 

Beliau berkata pelancaran penerbangan terus Phnom Penh ke Pulau Pinang adalah gambaran kukuh terhadap visi serantau, memajukan kesalinghubungan antara negeri dengan negara ASEAN sambil mengukuhkan asas matlamat Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN. 

“Ini akan menyumbang ke arah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab strategik dalam rangkaian penerbangan dan perdagangan serantau, melebarkan peranan sebagai nod ketersambungan utama di ASEAN dan menarik lebih banyak peluang perniagaan, pelancongan dan pelaburan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan