AM

Adun Mahu Pulau Pinang Haram Jualan Vape Di Premis Perniagaan Seperti Negeri Lain

20/05/2025 06:29 PM

GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini meminta kerajaan Pulau Pinang untuk melarang penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di negeri ini seperti yang dilaksanakan di beberapa negeri.

A.Kumaresan (PH-Batu Uban) berkata penggunaan rokok elektronik kini menjadi satu fenomena yang amat serius dalam kalangan golongan remaja hingga ke golongan tua, sehubungan dengan itu, kerajaan negeri harus meneliti dari sudut dasar dan perundangan bagi tindakan progresif yang boleh dilakukan di negeri itu.

“Kedah, Johor dan Terengganu telah mengumumkan langkah drastik dengan tidak menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri terbabit.

“Saya ingin menggesa kerajaan negeri menyatakan pendirian yang jelas berhubung penjualan vape dan rokok elektronik, terutamanya kepada golongan remaja kerana ia melibatkan kesihatan awam dan masa depan anak-anak kita,” katanya ketika membahas ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) berharap kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape di semua premis di Pulau Pinang berikutan penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan selain memudaratkan kesihatan.

Beliau berkata hampir separuh pelajar sekolah rendah dan menengah di lima negeri termasuk Pulau Pinang selain Perlis, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didapati ketagih vape.

Mengambil contoh tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selama tiga tahun dari 2021 terhadap 15,000 pelajar sekolah di lima negeri itu, beliau berkata ia mendapati 8,000 daripada mereka menghisap vape termasuk 2,000 pelajar perempuan.

“Selain itu, 4,000 adalah dalam kalangan murid sekolah rendah yang turut menghisap vape dan ia membimbangkan kerana vape mudah diperoleh,” katanya.

Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga) pula berkata gejala penggunaan vape merupakan masalah sangat kritikal kerana ramai anak muda terjebak dan ia juga lebih berbahaya berbanding rokok kerana 65 peratus kandungannya mempunyai bahan terlarang serta mudah dimanipulasi dengan dadah baharu.

“Ada kes di Penaga iaitu seorang pelajar sekolah menengah menghisap vape jenis ‘magic mushrooms’ sehingga otaknya ‘murung’ dan kini tidak bersekolah kerana bapanya terpaksa memantau,” katanya.

Pada 29 April lepas, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata satu mesyuarat bersama agensi berkepentingan diadakan bagi membincangkan cadangan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di Pulau Pinang, sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan