EKONOMI

EPMS, Sinopec SLT, LCSB Jalin Kerjasama, Teroka Industri Minyak Dan Gas Luar Pesisir Malaysia

20/05/2025 08:41 PM

KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) -- Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMS), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), SINOPEC Heavy Lifting and Transportation Co. Ltd. (SINOPEC SLT) serta Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) hari ini menjalin kerjasama strategik. 

ICSB merupakan syarikat pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah.

Kerjasama strategik berkenaan dibentuk bagi meneroka peluang sektor minyak dan gas huluan serta hiliran di Malaysia khususnya di perairan Sabah.

Jalinan kerjasama tiga hala itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian perjanjian iaitu EPIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Muhtar Suhaili, SINOPEC SLT diwakili Pengurus Besarnya Liu Han dan ICSB diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya Datuk Jasnih Daya.

Kerjasama berkenaan bertujuan menggabungkan kepakaran teknikal, keupayaan operasi selain pengetahuan serantau yang dimiliki ketiga-tiga pihak bagi menyediakan penyelesaian berimpak dan berorientasikan nilai sekali gus menyokong aspirasi pertumbuhan bersama dalam sektor berkaitan.

Jasnih dalam satu kenyataan berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada EPMS dan SINOPEC SLT berhubung peluang untuk turut serta dalam kerjasama berpotensi tersebut. 

"Kami amat berterima kasih di atas keyakinan yang diberikan terhadap keupayaan kami dan berbangga dapat menyumbang sebagai pemegang saham sebanyak 30 peratus dalam kerjasama ini.

Sementara itu, Muhtar turut menyatakan kegembiraannya selain menekankan kepentingan kerjasama ini yang seiring dengan tumpuan Malaysia terhadap projek minyak dan gas yang kompetitif termasuk penyampaian perkhidmatan Kejuruteraan, Persediaan, Penyingkiran dan Pemulihan (EPRR) secara bertanggungjawab untuk penyahtauliahan kemudahan luar pesisir.

“Kerjasama itu merupakan bukti kesepakatan visi semua pihak dalam memacu kecemerlangan operasi sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga Malaysia.

"Pemeteraian perjanjian tiga hala ini hari ini bukan hanya dengan hasrat untuk melaksanakan projek, tetapi juga berbekalkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan, integriti, pertumbuhan bakat dan pembangunan mampan.

“Gabungan kepakaran serantau ICSB, kapasiti di peringkat global SINOPEC SLT serta rekod pencapaian EPIC dalam memberikan perkhidmatan marin dan pelupusan darat membolehkan satu pasukan berkebolehan dan berdaya saing dibentuk bagi memenuhi keperluan rumit projek serta peluang berkaitan fasiliti luar pesisir," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden SINOPEC SLT Guo Zhong berkata projek penyahtauliahan pelantar luar pesisir ini merupakan satu usaha penting dalam sektor tenaga Malaysia serta menjadi penanda aras kepada amalan lestari dalam peralihan tenaga di peringkat global.

Katanya, syarikat komited untuk memanfaatkan kepakaran teknikal dan kecemerlangan dalam pengurusan projek bagi memastikan kelangsungan kerjasama yang lancar bersama rakan-rakan strategik di Malaysia.

"Komitmen kami tidak hanya terhad kepada pelaksanaan projek, tetapi juga merangkumi keselamatan operasi, kecekapan pelaksanaan dan pemeliharaan alam sekitar di samping menyokong pembangunan mampan jangka panjang di rantau ini.

“Dengan menggabungkan kepakaran, pengurusan sumber yang berintegrasi serta teknologi canggih, kerjasama berkenaan mencerminkan prinsip asas “manfaat bersama dan kejayaan dikongsi” (mutual benefit and shared success). SINOPEC SLT kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat dan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain peluang baharu jangka pendek, kerjasama berkenaan turut meletakkan landasan untuk perkongsian jangka panjang yang tertumpu kepada pemindahan pengetahuan, pembangunan kandungan tempatan serta inovasi dalam bidang kejuruteraan marin, pentauliahan dan penyahtauliahan di dalam sektor tenaga luar pesisir Malaysia.

Usaha ini bukan sahaja bakal menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan, malah turut menyumbang secara menyeluruh kepada pembangunan sosioekonomi serantau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan