AM

KPWKM Cadang Wujudkan PSSS Transit Di Sabah Melalui YKN, Beri Khidmat Sokongan Psikososial

18/05/2025 10:07 PM

PENAMPANG, 18 Mei (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bercadang mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara transit di Sabah dalam usaha membantu wanita yang berdepan dengan isu keganasan rumah tangga di negeri itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron berkata PSSS berperanan sebagai ‘jambatan’ untuk membantu wanita yang berdepan masalah terutama di luar bandar atau di mana-mana kawasan komuniti, membuat aduan dengan mudah kepada pihak berkuasa tanpa perlu memikirkan kos pengangkutan ke bandar.

Beliau berkata pusat sokongan itu juga menyediakan aplikasi MyPSSS yang membolehkan aduan dirujuk terus kepada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Talian Kasih, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu keluarga mempunyai anak orang kurang upaya (OKU), laporan kehilangan anak serta aduan berkaitan psikososial.

"PSSS ini ibarat jambatan kepada semua isu masyarakat, psikososial dihadapi rakyat yang bukan sahaja dibantu oleh YKN tetapi juga agensi dan kementerian. Kita juga mendapat permintaan daripada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar masuk ke universiti berkenaan," katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita pada program Jelajah Kasih PSSS di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Program berkenaan diadakan sempena Kembara Kasih KPWKM 2025 yang membabitkan dua zon utama di Sabah iaitu Zon 1 (Tuaran, Papar dan Penampang) dan Zon 2 (Lahad Datu, Kunak dan Tawau) dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan.

Mengenai Jelajah Kasih PSSS, Nordina berkata lebih 2,000 kes melibatkan isu psikososial direkodkan sepanjang tiga hari program dijalankan di Sabah antaranya kos sara hidup, pekerjaan, kekeluargaan, dan penganiayaan.

"Apabila menerima kes seperti ini, YKN memainkan peranan untuk membawa isu berkenaan ke kementerian atau agensi berkaitan tetapi jika melibatkan isu kekeluargaan akan dirujuk kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara," katanya.

Nordina berkata dengan slogan yang menggunakan bahasa tempatan 'sa dengar, sa tulung bah' (Saya Dengar, Saya Tolong) pada bas bergerak PSSS, ia memberi keyakinan kepada penduduk setempat bertemu dengan kaunselor bertauliah untuk meluahkan bebanan masing-masing.

Mengulas lanju, beliau berkata sambutan daripada orang ramai juga amat menggalakkan apabila kaunter PSSS sentiasa menjadi tumpuan sepanjang tiga hari kembara itu dijalankan.

"Kita berharap dengan dua bas PSSS ini akan dapat menyantuni masyarakat bukan sahaja di bandar tetapi juga luar bandar," katanya dan menambah kenderaan PSSS akan dibawa ke lokasi jelajah mengikut keadaan kawasan program itu diadakan.

Beliau berkata bas berkenaan juga menyediakan bilik kaunseling khas untuk mereka yang mahu bertemu dengan kaunselor meluahkan masalah dengan tenang dan selesa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan