AM

LIMA’25: Kementerian Komunikasi Melalui MCMC Fokus Capaian Internet Yang Baik

20/05/2025 04:37 PM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan meneruskan pemantauan untuk memastikan capaian Internet sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25), mencapai kelajuan yang tinggi.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata pemantauan itu, bagi memastikan acara gilang-gemilang dan berprestij tinggi tersebut, dapat dinikmati bukan hanya penduduk tempatan tetapi semua rakyat Malaysia, baik menerusi televisyen mahupun media sosial.

“Alhamdulillah kali ini kita telah uruskan banyak masalah dan (capaian) Internet kali ini lebih baik daripada dulu. Bukan hanya di tapak ekspo ini diadakan, tapi kita lihat di seluruh Pulau Langkawi keadaan Internet makin baik.

“Jadi insya-Allah kita akan teruskan pemantauan, pastikan acara yang gilang-gemilang ini dapat dinikmati semua rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemantauan Telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), LIMA’ 25 di sini hari ini.

Beliau sebelum itu turut melawat reruai Telekom Malaysia, Pavillion MCMC dan reruai Measat Global Bhd (Measat), dengan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menzahirkan rasa teruja dengan penganjuran pameran edisi kali ke-17 kali ini, yang disifatkan memperlihatkan kemampuan negara dalam soal penyelidikan pertahanan.

“Saya sangat teruja bukan sahaja melihat produk-produk hasil Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), tetapi juga hasil daripada penyelidikan angkatan tentera sendiri.

“Beberapa produk yang mereka tunjukkan kepada saya sangat-sangat menarik, sama ada teknologi dron mahupun teknologi komunikasi yang mampu menjimatan kos operasi dan ini membuktikan bahawa kita ada pasukan (pertahanan) yang mempunyai banyak idea yang sangat menarik,” katanya.

Beliau berkata untuk itu mereka perlu diberikan sokongan, dukungan dan dorongan, supaya mampu sendiri menghasilkan lebih banyak inovasi.

Pada masa yang sama, Fahmi berkata LIMA’ 25 juga memperlihatkan keupayaan negara mengumpulkan banyak negara menerusi pameran yang terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara, sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan