Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila kebimbangan mengenai paras fiskal AS terus menjejaskan mata wangnya.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2685/2735 berbanding dolar AS daripada 4.2950/3010 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Moody’s Rating menurunkan penarafan kredit berdaulat AS telah menjejaskan dolar AS.
“Mata wang negara yang sedang pesat membangun lain juga meningkat berbanding dolar AS namun, perlu dilihat sama ada trend sedemikian boleh kekal atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata hari ini ringgit bergerak seiring dengan keseluruhan kelemahan dolar AS apabila pusingan modal ke Asia semakin memperoleh momentum dan spekulasi mula timbul menjelang sidang kemuncak G7 di Kanada.
“Cakap-cakap pasaran menunjukkan Washington mungkin sedang bersiap sedia untuk mencadangkan klausa mata wang sebagai sebahagian daripada rundingan pengurangan tarif dengan Tokyo dan Beijing.
“Ini secara tidak langsung akan mendorong kenaikan yen dan yuan sebagai pertukaran kepada pengurangan ketegangan perdagangan. Jika naratif ini menjadi kenyataan, keadaan ini akan mencetuskan hala tuju penurunan dolar AS yang lebih rendah, satu keadaan yang menguntungkan ringgit,” katanya.
Ringgit juga meningkat apabila pengeksport dan pelabur institusi dilihat mengambil langkah lindung nilai terhadap peningkatan risiko fiskal AS.
“Susulan kemelut siling hutang dan kebuntuan belanjawan yang sekali lagi melumpuhkan Kongres AS, terdapat kemungkinan yang semakin meningkat bahawa dolar AS mungkin mengalami tekanan struktur yang lebih besar pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Innes berkata pelabur mula menunjukkan tanda-tanda aktiviti penghantaran balik perolehan, apabila syarikat korporat Malaysia dan akaun pelaburan institusi mengurangkan pendedahan kepada aset AS dan beralih kepada pegangan dalam mata wang tempatan.
Keadaan ini seiring dengan aliran lebih meluas yang dilihat di seluruh Asia, apabila kelemahan dolar AS memberi dorongan kepada pasaran pertukaran asing (FX) serantau untuk mencatat prestasi yang lebih baik, walaupun tanpa pemangkin tempatan yang kukuh, katanya.
“Sekiranya hasil Sidang Kemuncak G-7, merangkumi sebarang kenyataan yang memberi bayangan mengenai fleksibiliti FX secara terselaras, terutama dari Jepun atau China, ringgit mungkin mempunyai lebih ruang untuk meningkat.
“Buat masa ini, laluan dengan rintangan paling sedikit kekal sebagai pengukuhan ringgit secara sederhana, yang lebih dipacu oleh kelemahan dolar berbanding faktor asas domestik,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9642/9679 daripada 2.9727/9773 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.7241/7308 daripada 5.7428/7509.
Bagaimanapun, ringgit sedikit rendah berbanding euro kepada 4.8379/8436 daripada 4.8340/8408.
Unit tempatan juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.68 daripada 7.72/7.73 ketika ditutup pada Selasa, dan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.3071/3115 daripada 3.3153/3202.
Mata wang domestik juga tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.7 daripada 261.6/262.1 namun, susut berbanding baht Thailand kepada 13.0121/0353 daripada 12.9856/13.0116 semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial