LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Di sebalik kehadiran banyak syarikat gergasi antarabangsa dan tempatan berkaitan industri pertahanan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), terselit sebuah syarikat pembuat kasut bumiputera yang optimis menjadikan pameran kali ini sebagai platform memasuki pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Sepatu Timur Sdn Bhd Mohd Izarul Izzat Ismail berkata walaupun baru kali pertama menyertai acara antarabangsa dwitahunan itu, namun syarikat berkenaan telah 42 tahun berpengalaman dalam penghasilan kasut dan but kulit seperti but ‘drill’, but ‘combat’, kasut Oxford, kasut kawad serta but taktikal.
“Dengan adanya pameran seperti ini, saya berharap kita mampu mengetengahkan produk yang dihasilkan syarikat tempatan di peringkat antarabangsa.
“Sejak saya mengambil alih syarikat ini pada 2019, kami telah terlibat dalam pelbagai perjanjian dengan pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan untuk membekalkan pelbagai kasut berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui di reruai Sepatu Timur sempena LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Bagaimanapun dalam keadaan ekonomi semasa, beliau tidak menafikan terpaksa bersaing dengan banyak lagi pengeluar kasut lain menyebabkan pihaknya terpaksa melakukan pendekatan yang lebih kreatif dan agresif untuk menonjolkan produk syarikat itu.
Justeru, beliau melihat acara LIMA sebagai platform terbaik untuk meraih perhatian pihak yang berpotensi menjadi rakan strategik seterusnya mengembangkan lagi operasi syarikat termasuk di peringkat antarabangsa.
“Selepas ini memang kami bercadang untuk menyertai lebih banyak acara sebegini termasuk Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta acara lain secara lebih kerap,” katanya.
Mohd Izarul Izzat berkata acara-acara berkenaan bukan sahaja platform menjalinkan kerjasama strategik tetapi juga berupaya menonjolkan kemampuan syarikat tempatan yang ditunjangi pekerja tempatan berkemahiran tinggi dan kreatif.
Beliau juga berharap dengan cara itu ia dapat membuka lebih banyak ruang untuk pasaran produk kasut syarikat itu sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Bertemakan "Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan", LIMA'25 dibuka secara rasmi semalam dan berlangsung hingga Sabtu ini dengan penyertaan sebanyak 860 pempamer dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial