AM

Kes Perisian Tebusan Yang Melonjak Menuntut Tindakan Segera - Gobind

20/05/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Peningkatan kes-kes virus perisian tebusan (ransomeware) yang melonjak hingga 78 peratus di Malaysia pada suku keempat 2024, mencetuskan amaran mengenai peningkatan kerumitan dan skala ancaman siber, yang menuntut tindakan segera untuk kerjasama dan kesediaan global yang lebih kukuh.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata lonjakan itu menonjolkan keperluan kritikal bagi barisan antarabangsa bersatu dalam memerangi jenayah siber.

"Ancaman siber hari ini semakin canggih dan tanpa sempadan. Serangan perisian tebusan, pelanggaran data dan penipuan yang didayakan siber semakin meningkat dari segi kekerapan dan kerumitan. Cyber Games 2025 merupakan jawapan kepada keperluan ini," katanya pada majlis perasmian program sulung Cyber Games 2025 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar. 

Acara yang dianjurkan oleh Malaysia dengan kerjasama Council of Eropah, INTERPOL dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) itu telah menarik 120 peserta dari 40 negara, termasuk United Kingdom, Switzerland, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Qatar, Maghribi, Ukraine, Türkiye, Chile, Brazil, Armenia, Albania, Vietnam, Laos, Thailand dan Singapura.

Edisi sulung acara selama empat hari itu merupakan platform global yang direka untuk meningkatkan kapasiti antarabangsa, memupuk penglibatan dan mengukuhkan keupayaan forensik digital dalam kalangan profesional keselamatan siber.

Gobind berkata inisiatif itu menyatukan profesional penguat kuasa undang-undang, penyiasat dan pakar forensik digital dalam menghadapi simulasi, senario serangan siber tekanan tinggi, yang disasar khusus untuk meningkatkan kesediaan global.

Peserta akan menjalani latihan masa nyata yang meliputi forensik digital, analisis blokchain, risikan sumber terbuka (OSINT), analisis perisian hasad dan tindak balas insiden, semuanya bertujuan untuk meningkatkan daya tahan dalam menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin meningkat.

Menteri itu juga menyatakan bahawa penganjuran Cyber Games itu bertepatan dengan kepengerusian ASEAN Malaysia di ASEAN pada 2025, dengan Malaysia menjadikan keselamatan siber sebagai keutamaan serantau.

"Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, kita meletakkan keselamatan siber dan jenayah siber di barisan hadapan dalam agenda serantau. Kita komited untuk memacu dasar dan inisiatif yang memperkukuh ekosistem siber ASEAN dan menggalakkan kepercayaan dalam persekitaran digital di seluruh negara anggota," katanya.

Gobind turut mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang, dengan merujuk kepada kelulusan Kabinet baru-baru ini untuk penyertaan negara ke Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber dan penggubalan Rang Undang-undang Jenayah Siber baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan