SUKAN

Sepak Takraw Negara Punya Masa Depan Cerah - Mohd Sumali

19/05/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara mempunyai masa depan yang cerah susulan aksi cemerlang dengan meraih dua pingat emas dan dua perak di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.

Dua pingat emas negara disumbangkan dalam acara regu dan kuadran manakala perak diraih dalam acara doubles dan regu berpasukan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaian diraih Malaysia di kejohanan itu kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan meskipun pasukan negara gagal menamatkan kemarau 34 tahun dalam acara regu berpasukan

“Alhamdulillah sasaran Malaysia ke final dalam empat acara yang dipertandingkan tercapai. Dua pingat emas dan dua pingat perak adalah pencapaian yang membanggakan kita semua.

“Walaupun tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan, prestasi yang ditunjukkan amat membanggakan dan menjanjikan masa depan yang cerah untuk sukan sepak takraw negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mohd Sumali turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan rakan strategik PSM yang membantu menjayakan kejohanan berkenaan.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat antara PSM dan ASTAF, pihak penaja, sukarelawan, dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

“Saya dan PSM komited untuk terus memajukan sukan sepak takraw di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan