AM

Selangor Agih Lembu, Kambing Bernilai RM6 Juta Untuk Aidiladha

19/05/2025 08:01 PM

SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor memperuntukkan RM6 juta bagi menyediakan 700 lembu dan 1,000 kambing bagi tujuan ibadah korban kepada masjid serta surau di seluruh negeri berkenaan sempena Aidiladha pada bulan depan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kesemua haiwan ternakan itu akan diagihkan kepada penerima yang layak termasuk pengurusan tertinggi kerajaan negeri, masjid dan kumpulan komuniti tempatan.

“Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) adalah inisiatif kerajaan negeri di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selama tujuh tahun berturut-turut yang dibiayai melalui Tabung Amanah Sumbangan Anak Syarikat, Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Selangor (TASASBA).

“PKPS selaku pelaksana program akan menguruskan segala aspek perolehan, pentadbiran dan kewangan program dengan pemantauan rapi oleh Jawatankuasa Induk PSKNS yang dipengerusikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini. 

Amirudin pada masa sama mengingatkan badan pengelola PSKNS agar memastikan lembu dan kambing yang disumbangkan kepada penerima menepati syarat sah ibadah korban.

Beliau berkata setiap haiwan yang disumbangkan perlu memenuhi kriteria ditetapkan hukum syarak antaranya tiada kecacatan, sihat dan sudah mencapai umur yang cukup matang.

“Kita tidak mahu timbul masalah pada saat akhir seperti haiwan tidak cukup syarat menyebabkan pihak pengelola perlu menghantar kembali lembu atau kambing berkenaan kepada pembekal.

“Saya ingatkan semua pihak terutamanya jawatankuasa masjid dan surau untuk membuat semakan lebih awal bagi memastikan semua proses ibadah korban berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan