AM

Hampir 150,000 Kes Hilang MyKad Babit Golongan Remaja - Hannah

19/05/2025 05:13 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Sebanyak 142,535 atau hampir separuh daripada 285,568 kes kehilangan MyKad dilaporkan sepanjang tahun lepas membabitkan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata angka itu amat membimbangkan kerana MyKad merupakan dokumen penting dan menjadi akses bagi pelbagai urusan rasmi rakyat negara ini, sama ada bersifat peribadi atau melibatkan urusan kerajaan.

Antara faktor kehilangan MyKad adalah kecuaian iaitu 136,000 kes, dengan kehilangan dokumen penting itu boleh menyebabkan risiko kecurian identiti dan penipuan.

“Apabila golongan belia cuai, (ini) boleh menimbulkan risiko berhadapan denda bagi penggantian MyKad baharu dan (memerlukan) masa penggantian yang boleh mengakibatkan tekanan emosi,” katanya. 

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Strategik antara Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias.

Selangor merupakan negeri tertinggi merekodkan kes kehilangan MyKad membabitkan belia iaitu 23,000 kes diikuti Kuala Lumpur (20,000 kes) dan Johor (17,000 kes), dengan Hannah tidak menolak kemungkinan keadaan itu disebabkan tiga negeri tersebut merupakan bandar besar.

“Dalam kawasan bandar sekarang ada banyak aktiviti komersial, selalu berlaku penyerahan MyKad di rumah pengawal keselamatan atau bangunan komersial… kemungkinan besar ini berkait rapat,” katanya.

Hannah berkata mesyuarat hari ini memperhalusi beberapa langkah intervensi melalui kerjasama strategik KBS dan JPN seperti kempen advokasi digital melalui penyebaran bahan grafik seperti poster serta video di media sosial dan portal rasmi.

Langkah intervensi itu juga membabitkan penyampaian maklumat perkhidmatan JPN kepada golongan belia, terutama melalui program anjuran KBS seperti penyediaan kaunter atau reruai perkhidmatan JPN semasa penganjuran program utama seperti Hari Belia Negara (HBN) dan Hari Sukan Negara (HSN).

Hannah berkata KBS dan JPN turut bersetuju menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu individu memerlukan perkhidmatan JPN selain bercadang memperluaskan program itu kepada bekas atlet negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan