AM

Belia Sabah Diseru Pilih TVET Sebagai Pilihan Utama, Bukan Alternatif

19/05/2025 04:49 PM

KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru golongan belia di Sabah membuka minda dan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama untuk membina masa depan yang cerah dan bukannya sekadar laluan alternatif.

Beliau berkata bidang TVET kini memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri sejajar transformasi teknologi serta keperluan semasa industri.

“TVET bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata penawaran kursus TVET kini disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja dan perkembangan pesat sektor perindustrian sekali gus menjadi jalan kerjaya yang stabil serta berdaya maju untuk anak muda.

“Saya menyeru belia negeri ini agar tidak ragu-ragu menyertai bidang TVET. Inilah masa untuk mengubah persepsi dan memandang TVET sebagai pilihan bijak dan membuka ruang untuk menjadi profesional, usahawan serta inovator,” katanya.

Ketua Menteri berkata pelancaran MTS merupakan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal dan menyelaras lebih 160 institusi TVET di Sabah serta bertujuan memastikan setiap graduan dihasilkan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Beliau berkata TVET juga dianggap sebagai pemacu utama matlamat pembangunan negeri menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan dokumen strategik nasional seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dalam ucapan itu, Hajiji turut menyentuh revolusi teknologi masa kini termasuk kecerdasan buatan (AI) yang menuntut generasi muda bersedia dengan kemahiran baharu bersifat adaptif dan berorientasikan inovasi agar tidak ketinggalan.

“Dunia pekerjaan sedang berubah. TVET adalah platform terbaik untuk kita bangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan