GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang melaksanakan pemantauan berkala secara visual menggunakan dron dan rondaan, bagi memastikan Rizab Laluan (ROW) Petronas tidak diceroboh dalam usaha mengelakkan kejadian letupan gas seperti di Putra Heights, Selangor.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pemantauan itu dilakukan sekali atau dua kali seminggu, kerana langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan kawasan berhampiran saluran gas dan petroleum cecair, di Pulau Pinang.
“Isu paling utama dalam memastikan keselamatan di kawasan berdekatan dengan laluan paip gas, sebenarnya memastikan ROW saluran itu tidak diceroboh. Dalam ROW itu terdapat penampan yang selamat antara kawasan perumahan dan sememangnya ada garis panduan.
“Pencerobohan ROW merupakan isu utama perlu dielakkan dan PBT (pihak berkuasa tempatan) memang ada garis panduan, bagi mengawal sebarang pembangunan berdekatan apa-apa paip gas dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Zairil berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zulkefli Bakar (PN-Penanti), jika terdapat garis panduan dikeluarkan PBT sebagai syarat dalam permohonan merancang pembinaan rumah berdekatan saluran gas bagi mengurangkan risiko letupan.
Selain itu, Zairil berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), melaksanakan audit keselamatan ke atas operator talian paip gas dan petroleum cecair setiap tahun di negeri itu, bagi menilai tahap pematuhan mereka terhadap elemen pengurusan integriti, operasi, penyelenggaraan serta aspek teknikal lain.
Antara pemeriksaan JKKP ialah pemeriksaan pertama, ujian hidro statik (HT) dan pneumatik talian paip apabila menerima permohonan untuk proses pengeluaran Surat Kebenaran Mengendali (PTO), selain menjalankan pemeriksaan tempat penyimpanan produk petroleum setahun sekali di stesen minyak dan terminal.
Beliau berkata JKKP turut menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas talian paip tiada PTO dan mengeluarkan arahan untuk mematuhi peruntukan undang-undang, selain sebarang risiko kebocoran akan diuruskan secara berkala dan terkawal berdasarkan hasil pemeriksaan teknikal.
“Di pihak kerajaan negeri pula, pemantauan dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dijalankan dua kali setahun bagi meneliti perkara berkaitan dasar, strategi, arahan, pelan tindakan dan hala tuju pengurusan bencana termasuk isu berkaitan,” katanya.
Zairil turut memaklumkan panjang saluran paip gas utama Peninsular Gas Utilisation (PGU) di Pulau Pinang (dari Selatan ke Utara) kira-kira 42 kilometer (km) melalui kawasan dari sempadan Sungai Kerian, Parit Buntar, Relau, Machang Bubuk, Mengkuang, Ara Kuda, Kampung Selamat, Pinang Tunggal sebelum melintasi Sungai Muda untuk jajaran ke Kedah.
“Manakala jajaran sisi yang berhubung dengan paip gas utama PGU ialah 23km yang membekalkan gas asli kepada Stesen Janakuasa Prai SKS (SKS Prai Power Plant), Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Prai dan seterusnya ke Stesen Janakuasa TNB Gelugor,” katanya.
Zairil berkata berdasarkan JKKP negeri, terdapat 34 kilang atau syarikat aktif di Pulau Pinang kategori pepasangan bahaya besar setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial