AM

Paip Bahan Api Pesawat Bocor Di LTAPP Siap Dibaiki Pada Mac - Zairil

03/05/2025 08:03 PM

GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Kerja-kerja penggantian paip bahan api pesawat yang dilaporkan mengalami kebocoran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini telah siap sepenuhnya pada Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata kerja-kerja pembaikan itu dilaksanakan oleh sebuah syarikat minyak dan gas bermula Disember tahun lalu  selepas kebocoran dikenal pasti berlaku pada sistem paip bahan api di lapangan terbang berkenaan.

Menurut beliau maklumat itu disahkan sendiri oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan wakil syarikat minyak yang mengendalikan operasi bahan api pesawat di lapangan terbang terbabit.

“Saya telah menghubungi pihak MAHB serta ketua syarikat minyak dan gas yang beroperasi di LTAPP. Mereka memaklumkan memang berlaku kebocoran pada paip sistem Petronas Fuel Hydrant tahun lepas.

“Susulan itu, kerja-kerja penggantian paip telah dimulakan pada Disember dan siap sepenuhnya pada Mac. Ujian yang dijalankan selepas itu juga menunjukkan tiada lagi kebocoran baharu dikesan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tular di aplikasi Telegram yang mendakwa kebocoran bahan api pesawat di LTAPP telah berlaku sejak lebih lima tahun lalu tanpa sebarang tindakan penyelesaian.

Mesej tular tersebut turut mendakwa bau bahan api yang kuat boleh dihidu sesiapa sahaja yang melalui kawasan sekitar lapangan terbang, terutama ketika cuaca panas pada waktu tengah hari yang dikhuatiri boleh meningkatkan risiko letupan atau kebakaran.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan ujian yang dijalankan selepas kerja baik pulih siap mendapati situasi itu telah ditangani dan tiada lagi kebocoran berlaku setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan