AM

Media "Duta" Penting Promosi Kepimpinan Negara Sebagai Pengerusi ASEAN

19/05/2025 10:12 AM

Oleh Shuhaida Mohd Said

ALOR SETAR, 19 Mei (Bernama) -- Peranan pengamal media sebagai medium penyampai maklumat melayakkan mereka digelar “duta”, dalam usaha mempromosikan serta menyerlahkan kepimpinan negara selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Selaras dengan tanggungjawab Malaysia dalam menerajui agenda serantau itu, pelaporan mengenai inisiatif, dasar serta pencapaian negara dalam pelbagai bidang di peringkat ASEAN termasuk integrasi ekonomi, kestabilan politik dan pembangunan mampan, harus diperkasakan dan diketengahkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata peranan media tempatan, bukan sekadar melaporkan berita ke setiap pelosok negara tetapi ia lebih luas daripada itu.

“Media berperanan besar dalam mengetengahkan hak masyarakat, mempromosikan keadilan dan mengangkat kepimpinan yang adil untuk dijadikan contoh, bukan sahaja di negara ini malah negara anggota ASEAN,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mohammad Tawfik berkata media tempatan, bukan sahaja menjadi penghubung komunikasi antara kerajaan dan rakyat, malah turut berperanan merentas sempadan ASEAN serta berupaya memperkukuh hubungan diplomatik antara negara khususnya di rantau ini. 

“Laporan wartawan mempunyai kesan besar terhadap hubungan diplomatik, malah media merupakan “duta” penting dalam menjambatani hubungan erat negara anggota ASEAN menerusi penyelesaian isu, mempromosi keistimewaan negara anggota dari segi kestabilan politik, kemewahan budaya dan kekuatan pelbagai dimensi dalam sebuah organisasi,” katanya.

Sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Mohammad Tawfik berkata ia merupakan masa sesuai untuk media tempatan menonjolkan pencapaian Malaysia seperti kestabilan politik, melaksanakan dasar kepentingan bersama dan formula Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya mencapai matlamat bersama.

“Malah ini tanggungjawab paling penting yang perlu dilaksanakan oleh media dan wartawan menerusi pendekatan soft intervention bagi mengolah serta melahirkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata kecemerlangan media Malaysia telah diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan ia terbukti menerusi laporan Reporters Without Borders apabila kedudukan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 meningkat 19 anak kepada kedudukan ke-88 pada tahun ini.

“Perkara ini menggambarkan pencapaian hebat wartawan dan media Malaysia dan sokongan padu Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat peranan media dan wartawan Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, Mohammad Tawfik berkata para pengamal media diharap akan terus mempromosikan produk kejayaan dan pencapaian Malaysia dalam segenap aspek untuk dikongsi dan diketengahkan pada peringkat serantau, khususnya dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

Turut diadakan karnival dan pameran HAWANA di pusat beli-belah Sunway Putra Mall yang berlangsung tiga hari bermula 13 Jun, selain sukan media yang menampilkan elemen tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.

HAWANA yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Selepas edisi pertama di Kuala Lumpur, kemuncak sambutan HAWANA diteruskan di Melaka pada 2022 diikuti Perak (2023) dan di Sarawak tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan