ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Jumlah kes perceraian difailkan di mahkamah syariah seluruh Johor meningkat kepada 7,306 kes tahun lepas berbanding 7,174 kes pada 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata antara punca perceraian ialah tiada persefahaman, masalah kewangan, pasangan tidak bertanggungjawab, gangguan pihak ketiga dan campur tangan luar oleh mentua atau ipar-duai.
“Peningkatan paling ketara ialah tuntutan atau permohonan perceraian yang naik kepada 4,264 kes tahun lepas berbanding 4,042 kes pada 2023 manakala tuntutan pengesahan lafaz cerai meningkat sedikit kepada 2,462 kes (2024) berbanding 2,416 tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Marina Ibrahim (PH-Skudai) berhubung data pejabat agama berkaitan kes kegagalan tuntutan nafkah apabila berlaku perceraian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tuntutan fasakh pada tahun lepas mencatatkan penurunan ketara kepada 545 kes berbanding 675 kes pada 2023 selain tuntutan pengesahan cerai taklik juga menurun kepada 27 kes pada 2024 berbanding 33 kes tahun sebelumnya manakala tuntutan khuluk atau tebus talak kekal dengan lapan kes.
Bagi pecahan usia, Mohd Fared berkata lingkungan pasangan berumur 26 hingga 35 tahun adalah paling tinggi memfailkan perceraian tahun lepas iaitu 2,838 pasangan diikuti 36 hingga 45 tahun (1,951 pasangan), umur 46 hingga 55 tahun (881 pasangan), umur 18 hingga 25 tahun (747 pasangan), umur 56 hingga 65 (349 pasangan) dan 66 tahun ke atas (124 pasangan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial