KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai di dua institusi perbankan di ibu negara kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an itu terdiri daripada pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan yang ditahan kira-kira 4 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
“Berdasarkan siasatan awal, mereka disyaki secara bersama-sama telah memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar 2024.
"Seorang daripada lelaki itu yang merupakan ketua jabatan dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang telah membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta. Wang rasuah ini adalah sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan," katanya kepada Bernama.
SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu terbabit melibatkan nilai kira-kira RM268,000 selain menyita tiga peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Kesemua lelaki terbabit direman lima hari bermula hari ini selepas permohonan SPRM dibenarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.
Dalam kes berasingan, tiga individu termasuk seorang bekas pengarah eksekutif syarikat turut direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM2.5 juta.
Menurut sumber, seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan antara 4 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, semalam.
“Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 yang melibatkan tuntutan bayaran balik dan bayaran bonus berjumlah kira-kira RM2.5 juta,” menurut sumber itu.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial