Oleh Nur Afiradina Arshad
TELUK INTAN, 14 Mei (Bernama) -- Keadaan jalan yang sempit dan tiada lampu isyarat dipercayai antara faktor sering berlaku kemalangan maut di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Lampam Kanan Mohammed Nadzri Mat Taib berkata keadaan bertambah buruk dan berisiko apabila lori membawa muatan pasir serta batu sering melalui laluan berkenaan.
“Pemandu lori ini memandu laju dan pernah beberapa kali terbabas serta terjatuh ke dalam parit di lokasi itu. Di sini terdapat pelbagai kemudahan seperti dekat tali air, tadika, lorong masuk ke kampung-kampung dan gerai makanan.
“Oleh itu, laluan bersimpang-siur di lokasi itu dan kebarangkalian orang kampung keluar dan masuk secara melulu untuk pergi kerja serta menghantar anak ke sekolah boleh mengundang bahaya,” katanya kepada Bernama.
Mohammed Nadzri berkata lori-lori yang melalui jalan itu difahamkan berkaitan projek perumahan di kawasan berhampiran dan mengejar trip untuk ke lokasi pembinaan.
“Saya pun pernah menyuarakan dalam mesyuarat, berbincang apa yang boleh kita lakukan mungkin pembesaran jalan. Selain itu, kalau tengok lagi terdapat jambatan kecil yang menyeberangi tali air dan kalau berselisih memang bahaya,” katanya.
Mohammed Nadzri juga tidak menafikan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan ada melakukan tugasan seperti rondaan dan penguatkuasaan undang-undang, cuma pelaksanaan itu dilakukan secara berkala dan ia tidak memberi kesan kepada lori-lori berkenaan.
Sementara itu, seorang petani Mustafa Rahman, 50, berkata kawasan yang meragut nyawa sembilan anggota FRU itu adalah laluan utama bagi lori yang mengangkut pasir atau batu dipercayai dibawa ke Selangor.
“Memang lori yang lalu di kawasan ini pada waktu pagi bawa pasir atau batu, mereka ini juga pandu memang laju. Macam saya sendiri kalau hantar budak sekolah tak berani naik motosikal, lori-lori dipandu laju dan jalan pula sempit.
“Mungkin disebabkan laluan ini tiada tanda amaran, tiada had kelajuan dipaparkan dan tiada lampu isyarat sehingga menyebabkan kemalangan seperti ini berlaku dan ia adalah tragedi terburuk pernah berlaku di laluan itu kerana meragut banyak nyawa,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini ada rancangan untuk membesarkan jalan raya itu dan telah diluluskan, namun difahamkan permohonan itu dibekukan dan penduduk berharap ia disambung bagi mengelakkan lebih ramai terkorban.
Dalam kejadian pada 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil, sekali gus menyebabkan lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial