AM

Mendiang Koperal Nurit Disemadikan Di Kampar

14/05/2025 02:06 PM

KAMPAR, 14 Mei (Bernama) -- Cuaca redup mengiringi upacara persemadian anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dari Unit 5 Sungai Senam, Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampan, di Teluk Intan semalam.

Mendiang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai, di sini, kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

Upacara persemadian mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut dihadiri kira-kira 150 orang termasuk isteri mendiang, Jowissemborisxs Bah Johan, 36, bapa mendiang, Pandak Rompan, 71, dan ibu mendiang, Ngah Libah Tunkut, 68, serta sanak saudara terdekat.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir pada upacara berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar DSP Mohd Aster Mohamad.

Mendiang Nurit yang telah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai anggota PDRM dilaporkan maut bersama lapan lagi anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dalam nahas ngeri pada 8.54 pagi.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami yang disambut masyarakat Hindu di Menara Condong Teluk Intan, 12 Mei lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan