AM

Nahas FRU: KDN Hantar Kaunselor Bantu Waris Hadapi Detik Sukar - Saifuddin Nasution

14/05/2025 05:10 PM

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Satu pasukan kaunselor ditugaskan untuk memberi sokongan emosi kepada waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Teluk Intan, semalam dalam mengharungi detik sukar kehilangan orang tersayang. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain itu, bantuan kewangan juga disalurkan kepada waris dan keluarga mangsa. 

"Pasukan ini khusus untuk berada dan memberikan khidmat kepada keluarga supaya mereka mengharunginya dengan baik, kita tidak boleh memandang ringan kejutan dialami mereka. Baru semalam orang yang mereka sayangi itu ada bersama mereka, tetapi hari ini sudah tiada," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas menziarahi waris anggota FRU Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, antara sembilan yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam itu.

Pada lawatan itu, Saifuddin Nasution menyantuni ibu mentua Damarrulan iaitu Zamilah Mohd Nor, 65, balu Haswati Rosdi, 44, serta tiga anaknya di Kuarters FRU Unit 5, Sungai Senam di sini. 

Saifuddin Nasution berkata bantuan kewangan daripada kementeriannya termasuk bantuan wang tunai RM1,200 kepada setiap keluarga mangsa bagi urusan pengebumian jenazah. 

Beliau juga telah mengarahkan pasukan bagi membantu proses penyaluran insurans berkelompok kepada waris dapat disegerakan.

"Saya diberi jaminan hari itu ia (proses bayaran) diselesaikan secepat mungkin. Maknanya cuma dalam dua atau tiga minggu," katanya. 

Saifuddin Nasution berkata mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi telah memutuskan agar pasukan petugas yang dibentuk Kementerian Pengangkutan segera membentangkan laporan dalam sebulan berkaitan nahas berkenaan selain siasatan terperinci daripada pihak polis terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kejadian itu. 

Semalam, sembilan anggota FRU dari Unit 5 di Sungai Senam di sini  maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera apabila kenderaan pasukan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, pada 8.50 pagi semasa mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas tamat tugas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan