DUNIA

EU Gesa Israel Batal Sekatan Di Gaza, Benarkan Kemasukan Bantuan Kemanusiaan

03/05/2025 05:26 PM

BRUSSELS, 3 Mei (Bernama-WAFA) -- Jurucakap Kesatuan Eropah (EU) bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Anouar El Anouni, menggesa Israel agar segera menarik balik sekatan ke atas Semenanjung Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

“Kami memang mengulangi seruan kami kepaa Israel untuk menarik balik sekatan ke atas Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan secara meluas ke dalam dan di seluruh Semenanjung Gaza,” katanya pada sidang media harian Suruhanjaya EU di Brussels.

El Anouni menyuarakan kebimbangan serius terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza sambil berkata: “Kami amat bimbang dengan laporan mengenai situasi kemanusiaan, yang menunjukkan bekalan makanan yang dibawa masuk semasa gencatan senjata kini semakin berkurangan.”

Beliau turut menegaskan pendirian EU bahawa penyampaian bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang memerlukan mesti dilaksanakan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sejak 2 Mac, Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun majoriti penduduk wilayah itu kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan berkenaan.

Menurut data Bank Dunia, tindakan genosid yang berlarutan sejak 19 bulan lepas telah menyebabkan kebanyakan penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan.

Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan atau mencederakan lebih 170,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Lebih 11,000 lagi dilaporkan hilang, manakala pengeboman berterusan turut memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan