ARAU, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited melaksanakan program pembangunan industri jagung bijian secara intensif di negara ini, dalam usaha mengurangkan kebergantungan import sekali gus menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara.
Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata antara lokasi yang menunjukkan kejayaan pelaksanaan projek tanaman jagung bijian ialah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat Padang Besar, yang diusahakan Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dan FGV Chuping Agro Valley.
“Ini merupakan satu tempat yang berjaya, dan kita akan gunakan SOP (prosedur operasi standard) yang sama ke lokasi lain...jagung bijian ini penting kerana digunakan untuk penternakan ayam dan ruminan seperti lembu,” katanya kepada Bernama selepas melawat ladang dan projek tumpuan di Perlis di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya turut melihat kepada potensi golongan belia dalam memacu industri pertanian, khususnya tanaman jagung bijian itu menerusi program latihan dan kerjasama dengan syarikat swasta.
“GWG misalnya melatih ramai anak muda dan kita dapati kebolehpasaran mereka sangat tinggi. Latihan yang diberi bukan sekadar menanam, tetapi merangkumi pengurusan ladang, logistik dan pasaran. Ini penting untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya berdaya saing,” katanya.
Isham turut menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah mempertimbangkan bidang pertanian sebagai kerjaya masa depan.
“Sistem sokongan memang sudah ada. Cuma perlukan kesanggupan mereka untuk menyertai sektor ini. Ramai petani kita yang berjaya, dan ini satu bukti bahawa pertanian boleh jadi satu kerjaya yang stabil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial