AM

Media Malaysia Bersedih Atas Pemergian Wartawan Veteran James Ritchie

04/05/2025 12:08 AM

KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Seluruh industri media Malaysia bersedih dengan pemergian wartawan veteran James Alexander Ritchie, 75, menyifatkannya sebagai suatu kehilangan besar kepada masyarakat dan warisan budaya negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan mengucapkan takziah dan menyifatkan James sebagai seorang tokoh terkemuka yang telah meninggalkan kesan mendalam pada landskap kesusasteraan dan kewartawanan Sarawak.

Abang Johari berkata pengarang terkemuka itu yang telah menulis banyak buku mengenai kehidupan pribumi, budaya dan topik bersejarah, merupakan suatu nama yang tidak asing dalam industri media Sarawak serta dikenali dengan penulisannya yang bijaksana dan dikarang dengan baik.

"Pemergian James Ritchie sememangnya satu kehilangan kepada rakan-rakan media dan landskap pembangunan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Unit Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)) Datuk Abdullah Saidol berkata kerjaya James hampir lima dekad, yang bermula pada 1971, menjadikan mendiang sebagai saksi penting kepada peristiwa bersejarah khususnya di Sarawak.

"Kita telah kehilangan seorang tokoh yang luar biasa dalam kalangan komuniti media veteran, seorang yang pengalaman luasnya dan kerjaya gemilangnya sebagai wartawan dan penulis benar-benar hebat.

"Pemergiannya tidak sia-sia, kerana beliau meninggalkan warisan profesionalisme, dedikasi dan banyak hasil kerja termasuk artikel dan buku, yang terus menjadi rujukan penting,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pemergian James disahkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Seri Robert Jacob Ridu yang juga ahli keluarga mendiang.

Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong menyifatkan James sebagai tokoh utama dalam kewartawanan Malaysia yang karyanya melangkaui generasi dan genre.

"James lebih daripada sekadar wartawan akhbar. Dia meneroka lebih jauh, mengarang buku yang mendalam tentang pemimpin Sarawak dan warisan budaya. Pendekatan mendalamnya sering melangkaui pelaporan konvensional, menyelami fabrik sejarah, rohani dan sosial kehidupan Borneo.

“Satu ciri penulisannya ialah beliau menjelaskan konteks sesuatu topik itu dengan baik dalam naratif yang lebih luas untuk menjadikan bacaan lebih menarik,” katanya kepada Bernama. 

Yong berkata James sangat gemar kepada cerita berkaitan personaliti atau tokoh terutamanya tentang pemimpin suku kaum, pahlawan dan orang tua dalam komuniti, tokoh yang digambarkannya bukan dalam bentuk yang eksotik, tetapi sebagai individu terhormat yang mengemudi antara garis kemodenan dan tradisi.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Ronnie Teo pula menyifatkan James sebagai seorang ahli sejarah, pencari kebenaran dan pejuang yang bersemangat untuk naratif dan identiti Sarawak.

“Pelaporannya yang berani, terutama mengenai komuniti pribumi dan isu alam sekitar, mendedahkan isu kritikal dan membentuk perdebatan dalam kalangan orang awam.

"Di luar bilik berita, beliau memberi tunjuk ajar kepada bakal wartawan dan memberi inspirasi kepada ramai menerusi komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap integriti dan kecemerlangan kewartawanan,” kata Ronnie, sambil menambah bahawa walaupun Sarawak telah kehilangan suatu suara yang luar biasa, apa yang ditinggalkan James akan terus memberi maklumat dan inspirasi kepada generasi akan datang.

James merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada sambutan di sini, tahun lepas, yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengiktirafan atas sumbangan sepanjang hayatnya kepada dunia kewartawanan Malaysia. 

Bermula sebagai wartawan kadet The Straits Times di ibu negara ketika berusia 23 tahun, mendiang perlahan-lahan ‘mendaki’ puncak kerjaya dalam industri kewartawanan, khususnya di Sarawak.

Sepanjang kerjayanya James terlibat dalam pelbagai liputan berita berprofil tinggi antaranya serbuan Tentera Merah Jepun (JRA) ke atas Kedutaan Amerika di bangunan AIA di Kuala Lumpur, penangkapan “Master of Disguise” Lai See Kiaw serta penjenayah Wong Swee Chin atau dikenali sebagai Botak Chin.

Beliau turut memegang beberapa jawatan utama dalam media termasuk sebagai wartawan New Straits Times Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).

Jasa mendiang sebagai individu penting dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkan beliau menerima pengiktirafan antaranya menerusi Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan