JENAYAH & MAHKAMAH

Operasi Khas Trafik: Polis Sita 25 Motosikal, Keluarkan Lebih 100 Saman

03/05/2025 11:34 AM

KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Sebanyak 165 saman dikeluarkan manakala 25 motosikal disita dalam satu operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sekitar kawasan Merkang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata operasi bersepadu yang bermula pada 6.30 petang itu melibatkan tiga pegawai kanan polis dan 20 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Puteh.

“Sebanyak 165 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta pengubahsuaian struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Selain itu, sebanyak 25 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan rekod jenayah dan ujian air kencing turut dijalankan terhadap individu yang ditahan dalam operasi terbabit dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Zaizul Rizal berkata polis akan terus melaksanakan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa di beberapa kawasan panas (hotspot) bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan perlumbaan haram di daerah ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan