GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Ideal Property Group menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung siasatan dan penahanan pengerusi eksekutif kumpulannya, yang dikaitkan dengan siasatan pihak berkuasa terhadap penipuan melibatkan MBI International Group (MBI).
Syarikat pemaju hartanah dalam kenyataan hari ini berkata mereka beroperasi mengikut undang-undang dan prinsip etika perniagaan yang ketat, selain komited untuk mengekalkan integriti profesional dan ketelusan operasi pada tahap tertinggi.
“Baru-baru ini, Ideal Property Group mengesan berita palsu dan hantaran tidak benar di media sosial tanpa kredit, yang secara salah mendakwa pengerusi eksekutif kumpulan kami disiasat dan ditahan berhubung siasatan pihak berkuasa terhadap kumpulan MBI.
“Ideal Property Group menafikan sekeras-kerasnya dakwaan palsu dan berniat jahat itu serta menyangkal sepenuhnya kenyataan tidak berasas dan berunsur finah tersebut,” menurut kenyataan dimuat naik di akaun Facebook hari ini.
Ideal Property Group memaklumkan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis berhubung perkara itu serta segera mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasinya.
Ideal Property Group turut memberi jaminan bahawa mereka akan terus menunjukkan prestasi operasi yang kukuh dan mengekalkan fokus dalam melaksanakan projek semasa serta memenuhi semua tanggungjawab kepada pihak berkepentingan dengan cemerlang.
Pada 22 April lepas, polis telah menahan lima individu termasuk dua bergelar Tan Sri dan Datuk Seri, dipercayai sebagai proksi dan rakan kongsi dalam penipuan pelaburan Ponzi yang dikaitkan dengan MBI.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata selain menahan lima individu berusia 32 dan 67 tahun di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air, polis turut merampas tiga dusun durian dengan keseluruhan keluasan hampir 900 ekar bernilai RM223,624,167 di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata lapan individu ditangkap dan aset bernilai RM3.17 bilion dirampas dalam siasatan berkait skim penipuan itu.
Beliau berkata tangkapan itu merupakan sebahagian daripada operasi rentas negara yang dilancarkan susulan Notis Merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial